Batalkan konsert Coldplay? ‘Mereka tak beli tiket pun’

MAESTRO muzik tersohor, Datuk Ramli MS menegaskan penelitian terperinci perlu dilakukan sekiranya ingin membatalkan konsert Coldplay Music Of The Spere yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur Rabu ini.

Ramli atau mesra dengan sapaan Tok Ram berkata, banyak perkara perlu dinilai semula sekiranya konsert band asal Britain itu mahu dibatalkan seperti yang didesak oleh segelintir pihak.

“Bagi membatalkan konsert tersebut, beberapa elemen perlu dilihat dari pelbagai sudut sebab akan ada banyak perkara yang terlibat.

“Sekarang ini bercakap untuk batalkan konsert ialah mereka melihat dari isu yang mana? Agama, tingkah laku, perniagaan, ekonomi atau sebagainya? Ada banyak.

“Saya tak mahu jawab isu ini kerana banyak elemen yang terlibat dan perlu diteliti. Semua elemen itu ada ‘plus minus’ (kebaikan dan keburukan),” katanya pada sidang akhbar selepas konsert mingguan All Stars Gegar Vaganza (GV10) semalam.

Sementara itu, dia juga berpendapat, individu menyuarakan hasrat untuk konsert itu dibatalkan kebanyakannya adalah golongan yang yang tidak membeli tiket.

“Kalau cakap tentang ekonomi, perlu selidik dari aspek penjualan tiket, tempah hotel dan beli tiket kapal terbang, semua itu melibatkan duit.

“Sebenarnya yang suruh batalkan konsert ialah orang yang tak beli tiket.

“Isu pembelian tiket pula melibatkan banyak perkara seperti penaja, penyanyi, stadium dan banyak lagi, semuanya berkait rapat,” jawabnya ringkas.

Terdahulu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah turut menasihatkan supaya konsert Coldplay tidak diteruskan kerana disifat melalaikan dan tidak memberi manfaat kepada masyarakat di Malaysia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok