Alif Aziz ‘buang masa’ saya sebab dia bagus, memang ‘Leman’

KONSERT minggu kelapan All Stars Gegar Vaganza (GV10) malam tadi menyaksikan kesemua peserta lelaki iaitu Aliff Aziz, Naqiu, Tomok dan Hady Mirza mendapat kedudukan empat tangga teratas berbanding peserta wanita.

Menurut ketua juri GV10, Datuk Ramli MS, dia melihat peserta lelaki lebih bertungkus lumus ketika menyempurnakan tugasan minggu ‘funfair Tok Ram’, selain memiliki jiwa ‘Leman’ (menyanyikan lagu kampung) secara natural.

“Semua peserta lelaki bertungkus lumus. Kedua, saya rasa mereka memang ada jiwa ‘Leman’. Jadi mereka ada kualiti tersebut.

“Kalau saya dengar Aliff Aziz menyanyi begitu (ketika malam konsert) sewaktu sesi latihan, saya tidak akan minta dia teruskan latihan. Sebab dia sudah bagus, jadi jangan buang masa saya sebab jiwa dia jiwa ‘Leman’,” kata Ramli.

Ketika ditanya tentang keseluruhan persembahan yang ditampilkan oleh kesemua peserta GV10 malam tadi, maestro muzik itu berkata dia sangat gembira dan berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh semua bintang.

“Secara keseluruhan, saya berasa sangat gembira dengan semua persembahan yang dipamerkan oleh kesemua bintang malam tadi.

“Untuk menjiwai, itu cerita lain. Tapi bila sentuh soal bertungkus lumus untuk mempelajari perkara baharu, itu sangat bagus.

“Kalau tanya saya, ya, saya puas hati dengan kerja keras yang ditunjukkan oleh kesemua bintang. Biar mereka belajar. Itu yang saya mahukan untuk dibawa ke konsert minggu hadapan,” jelasnya.

Konsert minggu kelapan GV10 bertemakan ‘funfair Tok Ram’ menyaksikan penyanyi Aliff Aziz yang menyanyikan lagu Cik Mek Molek, menduduki tangga pertama dengan markah sebanyak 78.00 peratus, diikuti Naqiu (77.75 peratus), Tomok (74.75 peratus) dan tempat keempat milik Hady Mirza (72.00 peratus).

Nikki Palikat pula hampir tersingkir selepas menduduki tangga terbawah dengan markah sebanyak 56.50 peratus. Bagaimanapun, tiada penyingkiran berlaku pada malam tadi.

Nikki yang menyanyikan lagu dangdut, Semakin Rindu Semakin Asyik oleh Amelina, dikatakan cuba menjadi orang lain ketika membuat persembahan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok