Amelia Henderson tak perlu bayar ganti rugi RM200,000 kepada A. Aida

PERJUANGAN membuahkan hasil apabila pelakon Amelia Henderson berjaya dalam rayuannya  di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, bagi mengetepikan bayaran ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A. Aida Production Sdn. Bhd. dalam isu pelanggaran kontrak drama Sekali Lagi Cinta Kembali tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Amelia selaku pemohon selain telah meneliti segala rekod rayuan secara maksima dan hujah kedua-dua pihak.

Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong turut berpuas hati bahawa pernyataan Amelia dalam laman Instagramnya tidak memfitnah A. Aida Production mahupun merujuk kepada syarikat produksi itu.

“Saya tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Sesyen. Selepas meneliti pernyataan Amelia secara keseluruhan, saya mendapati bahawa pandangan yang dikemukakan tidak merendahkan reputasi A. Aida Production.

“Penyataan Amelia sekadar menjelaskan bahawa skrip drama itu tidak sesuai dengan beliau selain memberi komen bahawa karakter sebagai `Aira’ akan melukakan imejnya secara keseluruhan pada mata masyarakat dan peminat-peminatnya,” katanya ketika membacakan keputusannya.

Bagaimanapun mahkamah memerintahkan Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson membayar ganti rugi nominal RM10,000 dalam tempoh 14 hari dan faedah lima peratus kepada syarikat produksi terbabit bermula hari ini.

Dalam prosiding secara dalam talian itu, Amelia diwakili peguam Mansheel Kaur manakala syarikat produksi selaku responden diwakili peguam Ashmadi Othman.

Terdahulu, aktres jelita berusia 28 tahu itu telah memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A.Aida Production Sdn. Bhd pada 18 April lalu.

Pada 7 April lalu, Amelia diperintah membayar ganti rugi lebih RM200,000 terhadap syarikat produksi milik penerbit terkenal, Datuk A. Aida itu.

Hakim Zulqarnain Hassan memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan syarikat produksi itu selaku plaintif terhadap saman yang dikemukakan kepada Amelia selaku defendan.

Penghakiman di Mahkamah Sesyen itu mengatakan mahkamah mendapati Amelia telah diikat dengan kontrak yang ditandatangani dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.

Untuk rekod sepanjang perbicaraan yang bermula 1 November tahun lalu, seramai tiga saksi daripada plaintif termasuk A Aida atau nama sebenarnya Datuk Zaidah Awang, 53, dan tiga saksi defendan termasuk Amelia sendiri hadir untuk memberi keterangan.

Sementara Amelia tetap dengan pendirian menafikan melanggar kontrak ketika dia menerima tawaran dan membintangi drama berjudul Sekali Lagi Cinta Kembali.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok