Lapangkan masa, Yunaverse Oktober ini – Yuna

PENYANYI yang mencipta nama di Amerika Syarikat, Yuna mengumumkan bakal merealisasikan konsert di Kuala Lumpur pada 22 Oktober depan.

Berita gembira itu dikongsikan menerusi video pendek di Instagramnya bersama kapsyen menunjukkan konsert itu  dinamakan Yunaverse.

Welcome to Yunaverse, save the date KL (Selamat datang ke Yunaverse, lapangkan waktu pada tarikh ini Kuala Lumpur),” tulisnya pendek.

Menerusi video berkenaan, penyanyi Terukir Di Bintang itu mendedahkan konsertnya bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Dalam hantaran lain, pemilik nama penuh Yunalis Mat Zara’ai itu turut berkongsi rasa teruja dengan memberi bayangan katalog lagunya yang bakal dibawakan nanti.

Rakan seperjuangan, Ai.Z atau Aizat Amdan pula dipilih untuk tampil sebagai artis jemputan pada konsert tersebut.

Terbaru, penyanyi berusia 36 tahun itu menerbitkan EP berjudul Masih Yuna dengan empat trek dalam Bahasa Melayu iaitu Menanti, Asing, Masih Sunyi dan Camaraderie yang merupakan ciptaannya sendiri bersama komposer antarabangsa.

Terdahulu, ketika pulang ke tanah air sekitar Ogos tahun lalu Yuna mendedahkan keinginan muncul dalam sebuah persembahan mega solo.

Namun katanya, dia perlu menyiapkan album berjudul Y5, selain menyempurnakan dulu persembahan jelajah di Seattle, Portland, San Francisco, Los Angeles, New York dan Boston sebelum dapat menjayakan konsert di tanah air.

Pada 2015 Yuna pernah mengadakan konsert solo di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur iaitu Yuna Live in Malaysia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok