BUKAN riak atau menunjuk-nunjuk, selebriti versatil, Alif Satar sebaliknya berharap perkongsian pengalaman sepanjang mengerjakan ibadah haji di kota suci Mekah sebagai dakwah kecil daripada insan kerdil seperti dirinya.
Alif atau nama lengkapnya Muhammad Alif Mohd. Satar berkata, perkongsian tersebut juga sebagai satu tanda kesyukuran tentang keindahan menunaikan rukun Islam kelima kepada golongan muda yang mengikuti perkembangannya dalam media sosial.
“Saya gunakan platform YouTube dan Instagram untuk tujuan berkongsi pengalaman haji.
“Haji ini satu ibadah. Semasa cerita kepada orang ramai, saya anggap sebagai dakwah kecil.
“Itu juga untuk memberitahu anak-anak muda yang mungkin membesar melihat saya tentang seronoknya ibadah haji,” katanya selepas majlis kesyukuran filem Anak Perjanjian Syaitan 2, di Kota Damansara, semalam.
Alif juga berharap dapat menyebarkan kebaikan kepada orang ramai meski dia bukan seorang manusia sempurna.
“Saya tidak sempurna tetapi kalau saya dapat memberitahu orang untuk menjadi lebih baik mengapa tidak.
“Kita manusia biasa pasti akan buat silap. Saya cuma sarankan buat haji waktu muda dan sihat sahaja,” ujarnya lagi.
Meski perkongsiannya tidak dibuat secara menyeluruh, pelantun lagu Anugerah Terindah itu terbuka untuk menceritakan perihal perjalanan itu kepada sesiapa yang bertanya.
“Pengalaman haji memang sangat peribadi. Apa yang saya kongsikan hanyalah tip of the iceberg (sebahagian kecil).
“Kalau awak bertemu saya dan tanya tentang haji saya akan cerita kisah sebenar-benarnya pengalaman berada di sana,” tutur bintang filem Pulau itu.
Pada 21 Jun lalu, Alif dan isterinya, Sha Dila berangkat ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan ibadah haji.
Tahun lalu, bapa kepada tiga orang cahaya mata itu bersyukur apabila dapat menghantar kedua ibu bapanya mengerjakan haji dan mendedahkan pernah menerima jemputan menunaikan Rukun Islam kelima sebanyak dua kali sebelum ini. – KOSMO! ONLINE