Shuib dituduh sertai Freemason

PELAWAK Shuib tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mengaitkan kematian isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin dengan dakyah sebuah organisasi tertutup dipercayai Freemason.

Katanya, fitnah dilemparkan disifatkan keterlaluan apabila turut mengaitkan banyak pihak termasuk hospital serta doktor yang merawat isterinya itu.

“Saya rasa tuduhan dan fitnah ini sangat melampau serta ekstrem kerana melibatkan arwah isteri saya, pihak hospital (HUKM) dan khasnya doktor yang terlibat.

“Rasanya tak perlu saya beri komen yang panjang. Tunggu saja kenyataan dari pihak peguam saya,” katanya.

Shuib atau Shahmira Muhammad, 38, berkata demikian mengulas hantaran seorang pelayar laman sosial yang mendakwa kematian Allahyarham isterinya berkaitan dengan agenda vaksin Covid-19.

TANGKAP layar perkongsian individu yang mendakwa Shuib adalah sebab mengapa Siti Sarah meninggal dunia disebabkan virus Covid-19. – FACEBOOK

Dalam perkongsian tersebut, individu terbabit membuat tuduhan Siti Sarah dipaksa ditidurkan sebagai bukti keberkesanan vaksin, namun akhirnya meninggal dunia.

Tulis individu itu lagi, Freemason menggunakan artis untuk mempromosikan kebaikan vaksin, selain menyatakan Shuib tidak boleh mengingkari arahan walaupun terpaksa mengorbankan keluarga sendiri.

Berdasarkan tinjauan mendapati kenyataan individu itu dibuat berpandukan sekeping foto Shuib bersama isteri baharunya, Watie yang menutup sebelah mata masing-masing sepertinya sinonim dengan organisasi ‘rahsia’ tersebut.

Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan Covid-19 pada 9 Ogos 2021. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok