Cillian Murphy hanya jamah sebiji almond demi Oppenheimer

BAGAI mimpi jadi kenyataan, penantian panjang Cillian Murphy untuk muncul sebagai bintang utama karya arahan Christopher Nolan berakhir apabila dilamar membintangi Oppenheimer.

Mula ditayangkan pada 21 Julai lalu, menerusi naskhah ke-12 sutradara tersohor itu nama Cillian Murphy, 47,  menjadi tumpuan ramai.

Watak ikonik J. Robert Oppenheimer yang dikenali dunia sebagai ‘Bapa Bom Atom’ melakar kejayaan luar biasa buat Cillian yang turut diraikan pengikut setianya.

Bohonglah jika saya katakan saya tidak terdesak untuk pegang watak utama dalam filemnya. Saya rasa mana-mana pelakon di dunia mahu bekerja dengan Christopher tidak kira skala filem atau watak. Berlakon bawah arahannya adalah satu impian,” ujar aktor kelahiran Ireland itu.

Demi Oppenheimer, Cillian menunjukkan kesungguhannya dengan membuat persediaan kira-kira enam bulan sebelum penggambaran termasuk menjalani diet ketat.

Malahan aktres, Emily Blunt yang memegang watak isterinya bernama Kitty membocorkan rahsia bahawa, Cillian hanya menjamah sebiji almond dan sedikit potongan buah epal sehari sepanjang penggambaran berlangsung.

Saya cuba memberi yang terbaik bukan sahaja lakonan tetapi juga bentuk fizikal watak tersebut. Memang sukar, tetapi selepas mengurangkan pengambilan kalori buat sementara waktu, badan akan terbiasa dan saya akan berhenti rasa lapar.

“Tetapi saya tidak menggalakkan orang lain melakukan diet seperti ini kerana tidak sihat untuk tubuh badan. Saya berdiet di bawah pantauan pakar nutrisi.

“Saya perlu mendapatkan bentuk fizikal tertentu dan helah lain yang turut membantu mendapatkannya adalah dengan pemakaian kostum serta sut yang dijahit khas untuk watak ini,” kongsi Cillian.

CILLIAN komited menterjemahkan watak Openheimer sebaik mungkin bahkan sanggup menahan lapar dan menolak pelawaan rakannya untuk makan malam.

Bukan itu sahaja, Cillian juga tidak menghadiri jemputan makan malam daripada barisan pelakon lain seperti Matt Damon dan Emily Blunt kerana diet yang ketat selain memberi fokus terhadap lakonannya.

Menurut Cillian, dia bukanlah seorang pelakon yang boleh membahagi-bahagikan emosi dan karakternya sepanjang tempoh penggambaran berlangsung.

Saya bukanlah orang yang tidak suka bersosial bersama rakan-rakan pelakon yang lain. Cuma selagi penggambaran filem belum selesai, selagi itu saya masih di dalam watak J. Robert Oppenheimer.

“Dalam kepala saya terlalu banyak yang difikirkan sehingga tidak ada ruang untuk saya bersosial atau bersuka-ria pada waktu itu.

“Sekarang dalam rangka promosi, saya sudah bebas daripada watak tersebut dan saya cukup seronok menghabiskan masa bersama mereka semua,” kata Cillian.

Untuk rekod, Cillian telah membintangi lima karya arahan Christopher iaitu Batman Begins (2005), The Dark Knight (2008), The Dark Knight Rises (2012), Inception (2010) dan Dunkirk (2017) tetapi belum pernah membawakan watak utama.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok