PELAKON Nina Iskandar kecewa apabila tular berita palsu tentang dirinya yang dikhabarkan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
Lebih membuatkan pelakon asal Brunei itu kesal apabila berita itu dikongsi sendiri ibu bapanya yang terkejut dengan laporan tersebut.
“Saya telah menerima berita tidak menyenangkan ini (palsu) daripada ibu bapa saya sendiri. Saya ingin jelaskan bahawa berita yang tersebut itu adalah tidak benar.
“Saya masih lagi hidup dan berada dalam keadaan sihat. Alhamdulillah. Saya ingin memohon maaf kepada mereka yang mendapat maklumat palsu ini sehingga menimbulkan kekecohan,” ujarnya dalam Instagram.
Nina atau nama lengkapnya Nur Akmalina Iskandar, 31, turut mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak mudah untuk menyebarkan berita sebegitu kerana boleh menimbulkan kebimbangan ramai, terutama sekali keluarganya.
“Saya ingin ingatkan supaya tidak menyebarkan berita tidak benar tanpada mendapat maklumat yang sahih terlebih dahulu.
“Daripada sebarkan berita palsu, lebih baik buat cerita-cerita yang baik-baik dan doakan kesejahteraan saya. Tak pasal-pasal buat orang panik,” ujarnya.
Selain Nina, selebriti seperti Datuk Aaron Aziz dan Adam Corrie juga pernah mengalami nasib sama apabila tular berita palsu tentang kematian mereka.
Penyebaran berita palsu itu sekali gus menyebabkan Aaron dan Adam menerima panggilan tidak putus-putus daripada keluarga serta kenalan terdekat yang terkejut tentang ‘kematian’ mereka. – HIBGLAM