Che Ta ‘shopping’ emas macam beli ikan, bayar tunai RM30 ribu

Menjelang Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba, pelakon jelita Rozita Che Wan tidak kedekut ‘berbelanja’ barangan kemas untuk ibunya di sebuah kedai emas.

Menerusi video yang dikongsikan dalam Instagram miliknya, selain ibu, Rozita atau mesra disapa Che Ta turut membawa bersama adik beradik yang ke semuanya perempuan ‘memborong’ emas di kedai tersebut.

“Bila kami adik beradi mai (datang) serbu kedai emas,” tulis Che Ta.

Dalam hantaran berbeza yang dikongsikan dalam TikTok miliknya pula, kelihatan selebriti berusia 50 tahun itu dengan bersahaja mengeluarkan wang tunai sebanyak RM30,000 dari dalam beg tangannya untuk membayar harga emas yang dibeli.

“Nasib baik kita bawa duit ‘selori’ nak bayar gelang emak. Berapa? RM30? (30 ribu). Selesai. Kena kira, dah terkeluar getah (diikat dengan getah),” bebel Che Ta.

Dalam ruangan komen, rata-rata netizen teruja melihat aksi pelakon cantik itu berbelanja barangan kemas dalam jumlah yang banyak.

Malah, ramai yang memuji sikap Che Ta apabila tidak kedekut atau berkira untuk menggembirakan hati ibu serta adik beradiknya yang lain.

“Itu dia, Che Ta beli emas macam beli ikan di pasar,” usik seorang pengguna Instagram.

“Alhamdulillah. Semoga Che Ta dilimpahi rezeki yang melimpah ruah seperti air Zamzam yang mengalir. Suka tengok keluarga begini. Akrab,” kata seorang lagi pengikutnya.

“Orang yang pemurah, rezeki akan melimpah ruah. Semoga bertambah lagi rezeki Che Ta,” pinta seorang netizen.

Ketika sambutan ulang tahun kelahirannya pada 9 Mac lalu, isteri kepada pelakon, Zain Saidin itu berkongsi rasa gembira apabila akhirnya berpindah ke rumah baharu selepas empat tahun menanti.

Difahamkan, kediaman mewah yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor itu bernilai RM10 juta. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok