PELAKON popular, Sahronizam Noor terkilan apabila tiada wakil daripada persatuan seni bertanya khabar mengenai dirinya selepas insiden putus jari kelingking, bulan lalu.
Pemilik nama penuh Sahronizam Noor, 50, itu berkata, perasaan kecewa tersebut tercetus kerana merasakan dirinya sebagai pelakon yang sudah lama berkecimpung dalam industri seni tanah air.
“Agak kecewa dan terkilan apabila tiada seorang pun wakil daripada persatuan, termasuk Seniman bertanya khabar mengenai saya selepas kejadian putus jari.
“Rasa sedih juga sebab saya bukan orang baru tetapi sudah lama terlibat dalam industri seni lakonan ini,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Civicas Network x Meerqeen di sini semalam.
Katanya lagi, dia tidak mengharapkan sebarang bantuan daripada pihak tersebut namun cukup sekadar pertanyaan khabar sebagai rakan seindustri.
Malah, dia juga menganggap dirinya bukan selebriti yang sering terpalit dengan kontroversi yang perlu diberikan perhatian.
“Mungkin juga saya bukan artis yang mempunyai kontroversi.
“Iyalah, mereka hanya mengambil tahu dan beri komen terhadap artis yang ada kontroversi.
“Saya bukan harapkan bantuan tetapi cukup bertanya khabar, sayangnya semua itu tiada,” ujar bintang drama Isteri Halal itu.
Ditanya sekiranya terdapat respons daripada wakil persatuan selepas ini, dia berpendapat perkara sebegitu tidak lagi diperlukannya ketika ini.
“Kalau tiba-tiba nak bertanya selepas saya bercakap, tidak payahlah.
“Sepatutnya dilakukan sebelum saya bercakap.
“Tidak mengapa, tempoh kita hidup bukan lama pun, nanti kita semua di bawah (kubur) juga,” ujarnya.
Berkongsi perkembangan kesihatan selepas insiden tersebut, Sahronizam berkata bahagian jarinya yang putus sudah semakin pulih.
“Dua hari lepas saya baru buka balutan.
“Alhamdulillah semakin pulih walaupun aktiviti harian saya agak terbatas dan kini sedang membiasakan diri terutama untuk menggenggam barang,” kongsinya.
Sebelum ini, suami kepada pelakon Safura Ya’cob itu mengejutkan ramai pada bulan Ramadan lalu apabila jari kelingking tangan kirinya putus semasa memotong ayam. – KOSMO! ONLINE
View this post on Instagram