‘Kanser dia sangat agresif, mula merebak ke paru-paru’

PENYANYI juga pelakon Safura Yaacob mendedahkan penyakit kanser tulang rawan yang dihidapi suaminya, Sahronizam Noor semakin serius apabila sel-sel aktif mula merebak ke bahagian paru-paru.

Keadaan terkini Sahronizam juga pelakon itu menyebabkan pembedahan kedua yang dirancang sebelum ini terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain.

Safura, 53, yang sudah bersedia dengan pembedahan tersebut termasuk menyediakan peralatan sepatutnya bagaimanapun akan duduk bersama pakar untuk mengetahui langkah seterusnya yang perlu diambil buat suaminyn.

“Hari ini (semalam) sebenarnya ditahan di wad dan sepatutnya esok (hari ini) buat pembedahan yang kedua sebab bila buat Imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan) balik, ada sedikit (sel kanser) tersebar ke paru-paru.

“Kita dah beli peralatan yang doktor suruh beli dalam RM700 lebih untuk digunakan semasa pembedahan tapi doktor pagi ini (semalam), mungkin pembedahan akan ditangguhkan.

“Esok (hari ini) kita akan berbincang sekali lagi dengan pakar nak tahu sama ada pembedahan ini diteruskan atau ada rawatan lain,” katanya kepada HibGlam usai konsert minggu keempat Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), semalam.

Disoal mengenai keadaan Sahronizam, pelantun lagu Dulu Sayang Kini Benci itu mengakui suaminya menunjukkan perkembangan positif walaupun berdepan dengan kanser tulang rawan tahap ketiga.

“Keadaan dia sangat okey, kuat dan positif. Kalau kalian tengok dia macam sihat tapi sebenarnya menghidap kanser tulang rawan tahap tiga.

“Doktor kata kanser dia sangat agresif. Tulang belikat dia ada timbul dan doktor terpaksa potong separuh bahagian yang kena sebab takut merebak ke atas,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, Safura mengakui emosinya agak terkesan sewaktu awal mendapati kesihatan suaminya tidak memuaskan tetapi hanya berserah nasibnya kepada Maha Esa.

“Ikutkan masa awal-awal abang masuk hospital, berat badan saya turun daripada 62 kilogram (kg) sampai 50kg. Sebenarnya kita minta dengan Allah.

“Minta dengan orang tak ada apa-apa. Semoga Allah bagi kita kesabaran, ujian ini untuk Allah bersihkan diri kita. Lama dia bagi sihat, bila Allah bagi sakit jangan bersangka buruk. Saya sangat positif,” jelasnya.

Tahun lalu, Sahronizam disahkan menghidap kanser tulang rawan tahap tiga selepas asyik berdepan masalah sakit belakang. Selepas membuat pemeriksaan di Hospital Ampang, Kuala Lumpur, Sahronizam dilaporkan menjalani pembedahan membuang tumor pada bahagian kanan belakang badannya pada 29 Oktober tahun lalu.

Setakat ini, bintang filem Pontianak Harum Sundal Malam itu sudah selesai menjalani rawatan radioterapi sebanyak 33 kali sebelum mendapat sel kansernya mula merebak. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok