“Baju warna hijau dia tak muat.”
Demikian penjelasan pelawak juga penyampai radio popular, Shuib berhubung pertikaian banyak pihak apabila anak sulungnya, Uwais Alqarni memakai baju Melayu berlainan warna pada majlis pertunangannya bersama usahawan, Watie Hanifiah, Ahad lalu.
Isu tersebut tercetus apabila baju Melayu Uwais berbeza warna daripada busana yang dipakai Shuib dan anak-anaknya yang lain iaitu hijau.
Menurut pemilik nama penuh Shahmira Mohamad, baju Melayu berwarna hijau yang ditempah untuk Uwais tidak muat dipakai ditambah pula seluarnya ketat pada bahagian punggung.
“Dia pakai warna merah sebab baju yang saya tempah untuknya tak muat.
“Seluar tak muat pada bahagian punggung. Raya dua minggu terus berat badan naik,” katanya dalam sebuah video siaran langsung.
Shuib turut memuat naik sebuah video memaparkan Uwais mencuba vaju Melayu berwarna hijau tersebut namun tidak boleh menyarung seluar kerana terlalu ketat.
Sebelum ini, disebabkan warna baju yang berbeza, pelbagai andaian timbul dan dicetuskan netizen termasuk dakwaan Uwais tidak bersetuju dengan pertunangan Shuib dan Watie.
Pada 6 Mei lalu, Shuib, 38, selamat melangsungkan majlis pertunangan dengan Watie, 35, dalam sebuah majlis tertutup di kediaman pihak perempuan di Shah Alam.
Pasangan itu dijangka bakal disatukan sebagai suami isteri pada 23 Jun depan.
Untuk rekod, Shuib pernah berkahwin dengan penyanyi Allahyarham Siti Sarah Raisuddin pada 2011 dan pasangan ini dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Uwais, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan kini berusia dua tahun.
Siti Sarah bagaimanapun meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19. – KOSMO! ONLINE