MEMILIKI tapak kaki rata bermakna anda tidak memiliki lengkungan atau tahap lengkungan kaki adalah sangat rendah.
Masalah ini boleh berlaku di sebelah atau di kedua-dua belah kaki atas banyak sebab tertentu antaranya, genetik, kecederaan di kaki atau buku lalu.
Berkemungkinan juga masalah kesihatan seperti artritis, diabetes, gangguan otot, kehamilan, peningkatan usia dan juga obesiti.
Tapak kaki yang rata boleh mendatangkan pelbagai masalah seperti rasa sakit dan ketidakselesaan di kaki, lutut, pinggang dan belakang badan. Postur tubuh anda juga mungkin berubah menyebabkan berjalan atau berlari menjadi sukar.
Bagaimanapun, anda masih boleh berlari dan bersenam tanpa mencederakan kaki serta tubuh meskipun memiliki tapak kaki rata dengan memilih kasut yang sesuai. Apatah lagi terdapat pelbagai jenis kasut di pasaran.
Mengambil kira golongan yang tapak kakinya rata, jenama barangan sukan antarabangsa ASICS muncul dengan kasut GEL – KAYANO 30 sempena ulang tahun ke-30 kasut siri berkenaan pada 1 Julai lalu.
Menurut duta ASICS Malaysia, pelakon, Hariz Hamdan keistimewaan kasut GEL – KAYANO 30 sememangnya direka khas buat mereka yang memiliki kaki rata.
“Menggunakan teknologi sistem 4D, kasut ini memberi kestabilan dan keseimbangan optimum buat pemakainya terutama mereka yang memiliki masalah kaki rata.
“Bukan hanya untuk larian, kasut ini juga amat sesuai digunakan untuk bersenam di luar atau pun di dalam gim,” ujar Hariz.
Bagi menguji tahap keselesaan dan kestabilan kasut itu, sebuah Klinik Larian GEL – KAYANO 30 telah diadakan bersempena majlis pelancaran koleksi ASICS Autumn Winter 2023 di Bangkok, Thailand baru-baru ini.
Hariz yang mewakili Malaysia bersama duta jenama terbabit dari seluruh Asia Tenggara merasai pengalaman memakai kasut berkenaan dengan beberapa siri senaman yang diaturkan.
“Saya suka bersenam di gim dan berlari untuk menjaga kesihatan. Bagi saya kasut ini sangat selesa untuk tempoh larian yang panjang.
“Jika mahu bersenam dan tidak mahu rasa sakit kaki memang perlu memilih kasut sesuai. Setiap orang memiliki jenis kaki yang berbeza-beza. Nasihat saya cuba dahulu setiap kasut sebelum membelinya,” kata Hariz.
Sementara itu, Pengurus Besar ASICS Thailand, Trin Thanakittivara berkata, jenama itu sedang berkembang pesat bukan sahaja di Thailand tetapi seluruh Asia Tenggara.
“Jenama kami amat mementingkan keselesaan dan setiap masalah pengguna. Setiap rekaan bukan sahaja sesuai untuk kumpulan sasaran seperti GEL – KAYANO 30 untuk mereka yang ada tapak kaki rata tetapi boleh digunakan oleh semua orang.
“Bagi mereka yang gemar berfesyen, kasut jenama ini juga memiliki pelbagai rekaan menarik. Jadi, ia tidak terhad kepada mereka yang ingin bersenam sahaja. Kelebihan kami adalah kasut sangat selesa dan menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi pengguna,” tuturnya.
Dalam pada itu, pada majlis pelancaran koleksi ASICS Autumn Winter 2023 turut diadakan pertunjukkan fesyen yang dihadiri ramai selebriti terkenal dari seluruh Asia Tenggara.
Antara yang memeriahkan majlis adalah barisan pelakon terkenal Thailand yang juga duta ASICS iaitu Toey Pongsakorn, Neng Sarun, Tay Tawan dan Pon Nawasch serta Ratu Universe Filipina 2019, Gazini Ganados.