Fourtwnty menyengat, pukau jiwa penonton

BEBERAPA tahun lalu, jenama Fourtwnty mungkin sangat asing di Malaysia tetapi situasi tersebut berubah sekelip mata hanya dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Bermula dengan konsert lewat 2022, Fourtwnty berjaya menambat hati pencinta muzik di Malaysia menerusi karya yang mengetengahkan mesej toleransi, keamanan dan pluralisme.

Kini populariti mereka kian bercambah hari demi hari, sekali gus meletakkan mereka sebaris dengan kumpulan Indonesia lain.

Buktinya, konsert Fourtwnty Nalar Tour yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur (KL) baru-baru ini full house!

Keterujaan peminat dapat disaksikan apabila rata-rata sudah mula beratur seawal pukul 6 petang bagi merebut posisi terbaik.

Persembahan yang dibuka tepat pukul 8.30 malam dimulai dengan lagu daripada album terbaharu mereka, Nalar iaitu Nematomorpha yang mengetengahkan muzik reggae. Zepp KL gamat!

Tidak berlama-lama, lebih 5,000 penonton yang hadir seterusnya didendangkan Argumentasi Dimensi dan Diam Diam Kubawa Satu.

VOKALIS Fourtwnty, Ari Lesmana berjaya membuai emosi penonton dengan persembahannya yang memikat. 

Penonton seterusnya seperti dialih ke dimensi emosi berbeza apabila Mangu dan Rammang-Rammang mula berkumandang. Seperti mendengar rintihan dalam jiwa sendiri.

“Malaysia sudah seperti rumah kedua.”

Itu antara yang dilaungkan vokalisnya, Ari Lesmana selepas melihat ‘kegilaan’ peminat yang hadir.

Kata Ari, walaupun sudah menjelajah di beberapa lokasi lain iaitu Kuantan, Pahang, Pulau Pinang dan Johor, Kuala Lumpur tetap paling meriah.

“Sebelum ini kami jelajah di negeri lain tetapi Kuala Lumpur masih terbaik. Kami selalu teruja apabila berpeluang kembali ke sini.

“Setiap kali membuat persembahan di sini, seperti menyanyi di negara sendiri. Kalian memang luar biasa,” katanya sebelum mendendangkan lagu High, Kusut dan Aku Tenang.

FOURTWNTY berjaya menambat hati pencinta muzik di Malaysia menerusi karya yang mengetengahkan mesej toleransi, keamanan dan pluralisme.

Ternyata ketiga-tiga lagu berkenaan membuatkan penulis terasa seperti sedang berperang dengan perasaan sendiri dalam mencari titik ketenangan.

Seterusnya, penonton kembali berdansa apabila salah satu lagu popular daripada album Nalar iaitu Kursi Goyang didendangkan.

“Apa sahaja yang kali cari dalam hidup ketika ini, mencari wang, kesenangan dan apa pun, jangan lupa pulang ke rumah sendiri,” ucapnya ringkas.

Fourtwnty yang dianggotai Ari Lesmana, Asep Nurohman, Andika Dwi Putra Arman, Primanda Ridho dan Ryan Maulana menutup persembahan dengan dua buah lagu popular mereka, Zona Nyaman serta Fana Merah Jambu.

Menyifatkan Malaysia sebagai rumah kedua mereka, Fourtwnty berpuas hati dengan sambutan luar biasa peminat setia mereka di negara ini. 

Sekali lagi, ribuan penonton yang hadir berdansa seperti melepaskan segala ketegangan dalam diri.

“Terima kasih kerana terus menghargai karya kami.

“Saya doakan kita semua diberikan kesihatan terbaik dan kalian juga dapat mendengar lebih banyak karya kami selepas ini,” katanya lagi.

Secara keseluruhan, emosi yang dilantunkan Ari ‘sampai’ tepat ke jiwa setiap yang hadir pada malam tersebut.

Energi yang dipersembahan bermula minit pertama sehingga saat terakhir tidak sedikit berkurangan, bahkan ditambah impak tenaga daripada penonton.

Jelajah Nalar Tour sebelum ini bermula di Singapura, Pulau Pinang, Johor, Pahang dan berakhir di Kuala Lumpur. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok