Hos suka menyindir, Sazzy Falak nasihat jangan ikut sebab bodoh

MELIHAT  ‘drama’ pengacara yang gemar sindir-menyindir antara satu sama lain, hos berpengalaman Sazzy Falak enggan terlibat dengan kontroversi murahan seperti itu.

Bagi Sazzy atau nama sebenarnya Sazlini Shamsul Falak, nilai diri yang tinggi menyebabkan dia lebih rela menyertai rancangan berbentuk ilmiah.

“Saya ada nilai. Sesiapa yang mahu ambil saya sebagai hos, saya jelaskan tidak mahu buat program yang suka mencetuskan gosip.

“Kalau dapat skrip untuk menyindir, saya takkan buat. Saya bukan pengacara sebegitu sebab saya ada integriti.

“Saya sangat berbangga terbabit dalam Women Talk yang mungkin tidak dapat perhatian ramai berbanding program lain, tetapi kami bawakan isu penting,” katanya pada sidang media Women Talk, semalam.

Sazzy menyifatkan sindiran ketika mengendalikan sesebuah program televisyen juga adalah perkara tidak profesional dalam dunia industri penyiaran.

“Apabila seseorang menyindir, mereka kemungkinan ada rasa tidak selamat atau terancam.

“Sesiapa yang rasa selamat mereka tidak akan menyindir orang lain dan lebih sibuk menguruskan kerja harian masing-masing.

“Mungkin sindiran dibuat untuk tarik penonton menonton program mereka dan nasib baik Women Talk tidak berbuat demikian,” ujarnya lagi.

Isteri kepada pengacara Nazril Idrus itu turut menolak kontroversi sedemikian bagi menunjukkan contoh yang baik buat generasi akan datang terutama anak-anaknya.

“Saya sudah lama dalam industri ini. Kalau masa muda dahulu yang bodoh-bodoh mungkin saya akan ikut.

“Lebih baik saya gunakan suara saya untuk sesuatu yang berguna. Tambahan pula, saya mempunyai anak-anak.

“Mereka tentu saya tengok hasil kerja saya dan tidak mungkin saya terapkan ajaran sebegitu,” jelasnya.

Sebelum ini, pengacara program realiti Famili Duo musim ketiga (FD3), Janna Nick dikecam kerana kelantangan memerli rancangan realiti All Star Gegar Vaganza (GV10) yang ditayangkan pada waktu sama.

Bagaimanapun, Janna mengakui insiden atas pentas langsung itu adalah rancangan pihak produksi bagi memulangkan paku buah keras terhadap GV10 yang didakwa memulakan budaya sindir-menyindir. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok