DI sebalik imej terbaharu berambut pendek, pelakon Ramona Zamzam mendedahkan keputusan memotong rambut diambil selepas bapa tercintanya jatuh sakit sehingga mengakibatkan kelumpuhan.
Pemilik nama penuh Ros Ramona Qadira Mohd. Zamzam, 36, memaklumkan bapanya, Mohd. Zamzam mengalami kelumpuhan selepas berdepan komplikasi ketika pembedahan.
“Saya potong rambut pendek selepas ayah saya lumpuh. Agaknya masa itu rasa rimas dengan rambut panjang, terdetik nak potong rambut pendek.
“Dalam dua tahun lepas bapa saya ada buat pembedahan di IJN (Institusi Jantung Negara). Namun, pembedahan itu gagal dan dia kena strok.
“Saya mengalami masa yang agak sukar pada tahun pertama terutamanya banyak menangis.
“Ketika itu saya ambil masa berehat daripada lakonan sekejap. Selepas itu, dah okey balik,” katanya kepada HibGlam semasa sesi lawatan media di set penggambaran drama Wish List.
Berkongsi lanjut, bekas peserta Dewi Remaja 2009/2010 mengakui keadaan kesihatan bapanya kini semakin merosot dan mula mengalami masalah ingatan.
Keadaan ayah memang makin teruk. Kadang-kadang dia ingat dan tak ingat.
“Awal-awal dulu dia boleh lagi sebut nama kita sekarang saya tak tahu dia kenal ke saya anak dia.
“Doktor pun ada cakap keadaan dia memang akan lebih menurun sebab pembedahan yang gagal itu.
“Berapa lama itu wallahualam, tak tahu. Tapi doa-doakanlah yang terbaik untuk ayah saya,” tuturnya.
Dia turut meluahkan rasa ralat dan penyesalan kerana merasakan masanya bersama bapa sebelum ini masih belum mencukupi.
“Sedih sangat, banyak penyesalan juga bila tengok dia begitu. Rasa dah cukup bersembang dengan dia tapi banuak lagi sepatutnya saya perlu tanya dia.
“Sekarang ayah dah lumpuh, tak boleh bercakap. Saya menyesal.
“Pesanan buat orang di luar sana terutamanya kalau sayang ibu bapa kalian sebelum terjadi apa-apa, ada apa benda nak tanya atau bersembang, gunakanlah waktu yang ada sebaik-baiknya,” ujarnya. – HIBGLAM
