Padam gambar sebelum saya ambil tindakan – Hafidz Roshdi

PELAKON Hafidz Roshdi meminta bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri supaya memadam gambarnya yang dijadikan bahan promosi produk wanita itu dalam media sosial.

Hafidz atau nama sebenarnya, Muhammad Hafidz Roshdi berkata,Shuhada seperti tiada rasa bersalah menggunakan foto orang yang sudah tiada kaitan dengan hidupnya tanpa kebenaran tuan punya badan.

“Hari ini saya dapat tahu ada orang guna gambar saya untuk ‘promote’ barang. Saya tak tahulah untuk tujuan apa, tapi guna gambar saya.

“Macam dah tiada keaslian. Tak guna gambar lain ke. Saya rasa dia dah boleh padam gambar itu dan tukar lain sebelum saya ambil tindakan sewajarnya,” tegas Hafidz dalam perkongsian TikTok.

Sebelum ini Nurul Shuhada dikecam belum ‘move on’ gara-gara berkongsi foto dengan seorang lelaki dipercayai bekas suaminya dalam status mempromosikan produk minuman.

Ibu tunggal anak dua itu memberi alasan gambar didukung lelaki yang ditutup emoji pada wajah itu sekadar mahu menunjukkan berat badannya suatu ketika dulu.

Nurul Shuhada, 29, dilihat sempat membalas komen seorang pengikut yang memintanya berdamai dengan takdir apabila didakwa masih belum melupakan cinta lalu.

Pensohor media sosial itu turut dihentam netizen sebaik berkongsi video memasak sambal sotong yang didakwa lauk kesukaan bekas suami.

Hafidz dan Nurul Shuhada bercerai talak satu pada 22 Februari lalu yang disahkan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 27 Julai iaitu selepas tujuh tahun bergelar suami isteri.

Perkahwinan mereka pada 30 April 2016 dikurniakan dua cahaya mata, Humairah, 6, dan Umar, 2. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok