PRODUKSI All Stars Gegar Vaganza musim ke-10 (GV10) mengakui berdepan gangguan emosi apabila pengacara, Elly Mazlein memutuskan untuk meninggalkan program berkenaan.
Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd. Salleh ketika ditemui selepas konsert minggu keempat GV10, malam tadi berkata, pihaknya bagaimanapun perlu bersikap profesional dan menghormati keputusan Elly untuk menarik diri sebagai pengacara program tersebut.
“Secara emosi, memang sedikit terganggu. Namun kami bersikap profesional. Tanggungjawab perlu diteruskan. Kami ada baki lapan minggu lagi.
“Kita perlu ‘move on’ dan teruskan. Perhatian sepatutnya diberikan kepada para peserta GV10 yang bertanding sehingga ke peringkat akhir nanti,” katanya kepada HibGlam.
Tambah Norzeha lagi, pihaknya hanya mengetahui tentang keputusan Elly untuk menarik diri daripada mengemudi GV10 bersama pengacara Nabil Ahmad dan Jihan Muse hanya selepas konsert minggu ketiga berakhir.
“Sejak Kak Lina diambil untuk menjadi pengacara bersama Nabil dan Jihan, saya tidak pernah dengar sebarang kenyataan tentangnya untuk mengundurkan diri.
“Hanya selepas konsert minggu ketiga, kami diberitahu perbincangan telah dilakukan bersama pihak atasan. Atas sebab-sebab peribadi, Kak Lina mengumumkan untuk menarik diri,” katanya.
Walaupun keputusan telah dibuat, Norzeha berkata pihaknya (Astro) sentiasa terbuka dan mengalu-alukan kedatangan Elly untuk kembali bersama keluarga GV10 pada bila-bila masa.
“Kalau Kak Lina ubah fikiran dan mahu kembali semula menjadi sebahagian keluarga GV10, pihak kami sentiasa mengalu-alukan kedatangannya.
“Sebab saya rasa semua orang terasa dengan ‘kehilangannya’. Bagaimanapun, pada masa sama, kita menghormati keputusan yang telah dia buat,” ujar Norzeha.
Ketika disoal tentang status berbaur sindirian terhadap seseorang yang dimuat naik Elly atau mesra disapa Kak Lina Pom Pom dalam InstaStory miliknya malam tadi, Norzeha berkata dia tidak dapat memberikan pandangan kerana tidak tahu kepada siapa status berkenaan ditujukan.
“Ya, saya ada perasan hantaran yang dikongsikan Kak Lina (panggilan Elly Mazlein). Berkaitan status tersebut, saya tidak dapat komen panjang sebab tidak tahu kenyataan itu ditujukan kepada siapa,” ujarnya ringkas.
Terdahulu, Elly atau nama lengkapnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan tidak lagi bergelar pengacara GV10 atas sebab peribadi.
Bagaimanapun pada malam tadi, Elly ada berkongsi kenyataan berbaur sindiran apabila memaklumkan terpaksa melupakan tanggungjawab kerja (sebagai pengacara) kerana ingin memberi laluan kepada seseorang.
Tambah ibu kepada dua orang cahaya mata itu lagi, dia tidak betah bergaduh kerana percaya rezeki ada di mana-mana.
“Kadang-kadang kita terpaksa lupakan tanggungjawab kita. Sebab apa? Sebab niat kita ini baik untuk memberi laluan kepada orang ‘is shaking’ (yang menggeletar) buat kerja dengan lebih selesa,” tulisnya. – HIBGLAM