Dosa besar putuskan silaturahim adik-beradik

PERBALAHAN penyanyi, Shila Amzah dengan ahli keluarganya berikutan isu penjualan rumah banglo didiami ibu bersama adik-adiknya bagai tidak kesudahan apabila masing-masing saling berbalas kenyataan.

Rentetan itu, ramai orang luar termasuk selebriti dan netizen lantang menyuarakan pendapat seolah-olah menjadi sebahagian daripada keluarga yang retak menanti belah itu.

Begitupun, tidak ramai menitikberatkan hukum dalam Islam apabila seseorang individu memilih untuk bermasam muka dengan darah daging sendiri sehingga sanggup memutuskan ikatan kekeluargaan.

Laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu perkongsian menyatakan memutuskan silaturahim merupakan perbuatan yang jatuh dalam kategori dosa besar.

“Perbuatan tersebut boleh berlaku dengan cara meminggirkan orang sekeliling termasuklah tidak berlaku ihsan kepada mereka.

“Termasuk tidak memberikan harta ketika mereka dalam keadaan yang sangat memerlukan serta tidak menziarahi mereka tanpa ada sebarang keuzuran.

“Memutuskan silaturahim juga boleh berlaku dengan menyakiti hati, tidak menziarahi serta tidak cuba membantu ahli keluarga meskipun mempunyai kemampuan berbuat demikian,” jelas kenyataan itu.

Turut diriwayatkan dalam hadis Jubair bin Muthim RadhiAllahu Anhu bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda mengenai betapa pentingnya menjaga silaturahim.

“Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim,” sabda Baginda.

Perkataan ‘tidak masuk syurga’ itu bukanlah bermaksud seseorang itu tidak layak untuk masuk ke dalam syurga Allah tetapi membawa maksud tidak akan masuk ke dalam syurga bersama golongan terawal.

Begitupun, hadis itu jelas menunjukkan bahawa betapa pentingnya seseorang Islam itu dituntut untuk menjaga hubungan sesama manusia terutama sekali adik-beradik.

Sebelum ini, krisis dalaman keluarga Shila bermula selepas adik bongsunya, Syada membuat luahan mencari rumah sewa disebabkan bakal dihalau keluar dari kediaman yang didiami bersama ibu mereka.

Rentetan itu, Shila membuat balasan dalam sesi siaran langsung dalam Instagram dengan mendedahkan dirinya bekerja sejak kecil selain tidak memegang kad bank serta pengenalan diri sehingga berumur 28 tahun.

Pelantun Patah Seribu itu turut memperincikan hal menjual rumah serta sikap Syafiq dan Syada sehingga ibu mereka, Fauziah Sarman pula tampil yang menghangatkan lagi konflik itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok