Lepas Sophia, Bella Astillah ‘serang’ Aliff Aziz pula?

“KENAPA harus jaga hati pihak sana?”

Itu respons pelakon, Bella Astillah yang sekali lagi menuai perhatian ramai apabila tidak berpuas hati dan menyindir suaminya iaitu penyanyi, Aliff Aziz susulan membuat kenyataan ‘belum’ berhubung dengan aktres, Sophia AlBarakbah.

Kenyataan Aliff itu bagi menjawab pertanyaan sama ada dia ada menghubungi Sophia mengenai kehadiran aktres tersebut ke konsert minggu ketiga All Stars Gegar Vaganza (GV10) pada Ahad lalu.

“Kalau nak tanya mengenai berhubung, belum lagi berhubung tentang apa-apa. Mungkin beliau (Sophia) datang dengan sepupunya, Aisha Retno,” kata pelantun lagu Sayang Sayang itu dalam satu temu bual.

Tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut, Bella atau nama penuhnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 29, mempersoalkan mengapa Aliff perlu menjaga hati pihak lain (Sophia) sedangkan perasaannya yang harus diberikan keutamaan.

“Belum berhubung lagi? Kenapa akan berhubung ke?

“Kenapa harus jaga hati pihak sana, bukankah sepatutnya jaga hati isteri jauh lebih penting,” kata bintang drama Cinta Belum Tamat Tempoh itu.

Sebelum menyindir suami, Bella terlebih dahulu menuduh Sophia sebagai penipu dan suka memutar belit kenyataan berhubung isu kehadiran ke konsert GV10, Ahad lalu.

Hari ini, HibGlam melaporkan Sophia menafikan dakwaan kehadirannya ke konsert minggu ketiga GV10 adalah untuk memberikan sokongan kepada Aliff.

Menurutnya, kemunculannya pada konsert tersebut adalah bagi menemani Aisha yang membuat persembahan menerusi segmen GV Live +.

Terdahulu, kehadiran Sophia mencuri perhatian ramai kerana didakwa hadir bagi menonton persembahan Aliff yang pernah terkait dengan kontroversi cinta lokasi.

Sementara itu, HibGlam semalam melaporkan Aliff enggan memberi komen atas kehadiran Sophia kerana bimbang akan timbul spekulasi yang tidak sepatutnya.

Aliff yang mengakui menyedari kehadiran Sophia berpendapat setiap individu bebas untuk hadir menyaksikan konsert tersebut yang dianggap sebagai acara terbuka.

Pada Januari lalu, nama Sophia meledak selepas Bella mendakwa dia menjadi orang ketiga dalam rumah tangganya dengan Aliff.

Bella turut memuat naik tangkap layar memaparkan aktres itu memohon maaf dan ingin memperbetulkan keadaan berkaitan dakwaan mengganggu rumah tangga pasangan itu.

Aliff dan Bella yang mendirikan rumah tangga pada 2016, kini bahagia bersama sepasang cahaya mata, Ayden Adrean dan Ara Adreanna.

Manakala, Sophia pada bulan lalu dilaporkan mengakui sudah putus cinta dengan jejaka yang dikenali sebagai Mr. Doctor. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok