Konsert Rock Kapak di Panggung Asia Gombak hari ini

TIGA kumpulan popular era 1990-an, Junction, Meditasi dan Desire akan menggamit nostalgia peminat bersama deretan seleksi malar segar menerusi Konsert Rock Kapak pada 7 Oktober ini (hari ini).

Vokalis Junction, Kamarul Hatta Zaharudin atau Hatta berkata, tiga band ini bersatu semula atas pentas konsert selepas kali terakhir beraksi di Panggung Anniversary sekitar tujuh tahun lalu.

Sekali gus konsert yang berlangsung di Panggung Asia Kuala Lumpur membuktikan dakwaan band rock otai sudah berkubur tidak benar apabila masih ramai aktif dalam arena muzik hingga kini.

Kami masih aktif, namun peluang untuk membuat persembahan agak terhad mungkin disebabkan tidak ramai tahu aktiviti band kami dan melihat kepada permintaan, konsert ini direalisasikan.

“Apatah lagi selepas lebih tiga dekad, kebanyakan lagu kumpulan rock era 90-an masih menjadi siulan apabila dimainkan di radio dan pusat karaoke sehingga mengumpul pendengar muda.

“Bersandarkan permintaan dan ramai tanya bila nak buat konsert, kami penuhi misi ini biarpun berbulan memasang strategi terutama bagi mencukupkan kos yang bukan sedikit,” katanya kepada HibGlam.

Menurut Hatta, 56, persembahan mega anjuran Boss Production dan Attah Music itu berdurasi tiga jam, sekali gus diharap mampu mengembalikan semula era kegemilangan lagu rock kapak tanah air.

Katanya, dalam kerancakkan musim konsert sejak tahun lalu, sambutan terhadap Konsert Rock Kapak itu menjadi penanda untuk mereka mengadakan siri jelajah di negeri lain.

“Kami harap semua peminat lagu Akan Ku Kenang, Monolog Untuk Rina, Bias Cinta, Dian Cinta, Bidadari, Biar Pedih Kasih serta banyak lagi seleksi hits dari tiga band ini tidak melepaskan peluang.

“Walaupun semua penyanyi dan pemuzik terdiri daripada mereka yang sudah separuh abad, saya yakin semangat dan permainan muzik mereka seperti mereka usia 30-an.

“Jika dapat sambutan serta ada penaja mahu melaksanakan kolaborasi untuk siri akan datang, Konsert Rock Kapak ini boleh diteruskan ke lokasi lain,” kongsinya lagi mengenai konsert yang menawarkan harga tiket RM85 itu.

Katanya yang bersama Junction sejak 1986, setiap kumpulan diberi masa selama sejam, manakala pemanas pentas pula dihangatkan kemunculan kumpulan Revenge dan Bloodbrothers.

Tiket boleh dibuat menerusi laman web rockkapak.ubertickets.asia/ atau WhatsApp +60195881810.- HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok