“Saya papar realiti kehidupan, bukan berniat sebarkan ideologi negatif.”
Itu penegasan pelakon, Nadhir Nasar mengenai video muzik (MV) arahannya, Malampagi nyanyian Saixse yang menerima kecaman hebat daripada seorang individu kerana didakwa mempunyai elemen negatif dalam media sosial baru-baru ini.
Mempertahankan karyanya, pemilik nama penuh Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 27, berkata, jalan cerita yang diketengahkan dalam MV tersebut adalah mengenai realiti kehidupan golongan muda hari ini.
“Saya menulis sebuah karya, mungkin orang kata video tersebut keterlaluan tetapi itu adalah realiti kehidupan hari ini.
“Mesej yang disampaikan sangat ‘straight forward’ iaitu apa sahaja yang kita buat, akhirnya akan kembali kepada Tuhan,” katanya kepada HibGlam selepas sidang akhbar drama Super Wira di sini hari ini.
Tambah pelakon Projek: High Council itu, dia memberi kebebasan sepenuhnya kepada para penonton untuk membuat penilaian sendiri sama ada negatif atau positif.
Katanya lagi, dia tidak pernah menghasilkan sesebuah karya untuk mengejar populariti murahan apatah lagi menambah pengikut media sosial.
“Ramai mengatakan Malampagi lagu ‘healing’. Saya mahu tukar persepsi orang sebab lagu itu ada mesej yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan harian kita.
“Setiap manusia ada pilihan masing-masing dan saya sudah buat cara sendiri untuk sampaikan mesej sebegitu. Terpulang kepada penonton untuk membuat kesimpulan sendiri.
“Saya seorang yang berpegang kepada prinsip iaitu ingin menyampaikan mesej dan bukan ingin mengejar populariti atau pengikut,” tegasnya.
Ditanya sama ada bersedia sekiranya karya sentuhannya itu diharamkan ditayang dalam mana-mana platform, Nadhir berkata perkara itu di luar bidang kuasanya.
“Saya sudah jangka isu sebegini akan dibangkitkan. Setiap individu mempunyai selera berbeza dan sukar untuk puaskan hati semua pihak.
“Saya tak risau jika video muzik Malampagi digam atau diharamkan sebab sudah jalankan kerja sebagai pengarah. Tugas saya sudah selesai,” jelasnya lagi.
Dia turut menegaskan tidak pernah ingin digelar pengarah yang suka menghasilkan karya kontroversi sebaliknya hanya mengetengahkan isu kehidupan hari ini.
“Saya bukan pengarah provokatif dan hanya paparkan realiti. Suka atau tidak, perlu terima mesej yang hendak disampaikan.
“Orang sekarang lebih hidup dalam dunia tidak nyata dan sukar terima realiti sebenar,” katanya lagi.
Sejak semalam, isu lagu Malampagi menjadi bahan bualan hangat dalam media sosial apabila ada individu mendakwa lirik serta jalan cerita MV berunsur lucah dan menggalakkan maksiat.
Selain itu, individu terbabit juga kesal kerana lagu tersebut terus dimainkan dalam corong radio sehingga menjadi siulan ramai. – HIBGLAM
View this post on Instagram