Selebriti kena didik pengikut elakkan komen negatif – Riezman Khuzaimi

PELAKON Riezman Khuzaimi mengingatkan rakan selebriti agar lebih berhati-hati dan mengelakkan diri memberi komen negatif dalam media sosial.

Menurut Riezman, 56, sifat terburu-buru menghukum tanpa mengetahui perkara sebenar hanya akan menyemarakkan budaya tidak sihat dalam kalangan netizen.

“Bukan soal artis mengecam atau mengutuk artis lain. Sebenarnya, semua masyarakat Malaysia, khasnya kita, perlu mengelakkan daripada memberikan komen yang negatif kerana boleh beri kesan buruk.

“Apabila seseorang memberikan komen, kita sebagai manusia secara automatik tidak tahu cerita sebenar tetapi terus mengiyakan dan menokok nambah cerita sehingga perkara itu menjadi sesuatu yang tidak sihat,” katanya semasa majlis sidang media KamiSempoi Golden Award 2025, baru-baru ini.

Pada masa sama, pelakon filem Takluk: Lahad Datu itu menegaskan golongan selebriti menggalas tanggungjawab besar sebagai figura awam kerana setiap tingkah laku dan kata-kata mereka sering menjadi ikutan ramai.

“Sebagai seorang figura awam, suara kita didengari masyarakat. Jadi, saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru rakan-rakan artis supaya menjadi ikon kepada masyarakat.

“Perkara ini sebenarnya bukan sesuatu yang boleh terus dihalang tetapi perlu dididik. Kita mendidik pengikut kita agar mengelak memberikan komen-komen negatif dalam media sosial,” katanya lagi.

Malah, Riezman turut menjadikan platform media sosialnya sebagai ruang untuk menyebarkan mesej positif secara konsisten.

“Kalau tidak percaya, lihat sahaja siaran langsung saya. Setiap hari saya bersiaran langsung dan di hujung siaran, mesti saya akan ingatkan pengikut supaya elakkan komen-komen negatif.

“Kalau perkara itu selalu disampaikan, lama-kelamaan mereka akan berubah. Itu adalah mendidik, bukan menghukum.

“Kalau kita sebagai artis dan selebriti boleh menunjukkan contoh yang baik, pengikut kita juga akan belajar untuk tidak terus menghukum atau membuat kesimpulan hanya berdasarkan apa yang mereka baca dalam media sosial,” jelasnya.

Sebelum ini, budaya mengkritik dan memberikan komen negatif semakin ‘parah’ terutamanya dalam aplikasi Threads. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok