PELAKON Anzalna Nasir menegaskan penampilan seseorang dalam keluarga tidak wajar dijadikan sebab untuk mengecam, sebaliknya setiap pasangan lebih tahu mengurus kehidupan rumah tangga berbanding orang luar.
Ujar Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Md. Nasir, 38, penampilan isteri serta anak-anak juga sedikit sebanyak mencerminkan perhatian dan penjagaan diberikan dalam sesebuah keluarga.
“Sekiranya isteri nampak cantik, maknanya dia ada suami yang pandai menjaga.
“Kalau anak-anak sentiasa berpakaian kemas, bersih dan terurus, maknanya emak mereka memang seorang yang bertanggungjawab.
Tapi kalau suami pula nampak tidak terurus, itu bukan sebab isteri tidak pandai menjaga. Mungkin isteri sengaja membiarkan suami nampak tidak berapa elok apabila dia tiada di sisi. Takut nanti ada pula yang mengorat,” selorohnya dalam Threads.
Perkongsian pelakon drama Mamu Mami Gosip itu mengundang perhatian netizen, malah ramai bersetuju setiap pasangan mempunyai pendekatan tersendiri dalam menjaga penampilan serta keharmonian keluarga.
“Betul juga apa dikatakan Anzalna. Kadang-kadang penampilan suami memang bergantung pada keadaan dan keselesaan masing-masing.
“Jangan cepat menilai isteri kalau suami nampak selekeh. Mungkin itu memang gaya dia apabila keluar seorang diri,” antara komen netizen.
Dalam pada itu, ada juga netizen berseloroh supaya para isteri tidak terlalu mengambil mudah soal penampilan suami kerana bimbang perhatian daripada wanita lain pula mula menjengah.
Untuk rekod, Anzalna mendirikan rumah tangga dengan Hanif pada 2016.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Mohamad Eidrees, 7, dan Mohamad Emirhan, 4. – HIBGLAM
