Is Not A Joke bongkar sisi hitam pelajar

PENINGKATAN kes buli dalam kalangan pelajar sekolah mencetuskan inspirasi buat pengarah dan penerbit, Captain Denil untuk menterjemahkan realiti berkenaan menerusi naskhah terbaharunya berjudul Is Not A Joke.

Menurut pemilik nama lengkap Captain Denil Choong Lin Loong, hasrat bagi mengetengahkan topik sensitif itu disambut baik pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut memberikan kerjasama penuh sepanjang penghasilan filem.

“Tahun lalu, kes buli di sekolah meningkat. Saya bertanya kepada pihak polis, mengapa tidak kita beri laluan kepada isu buli terlebih dahulu?

“Pihak polis bersetuju kerana ini merupakan isu mendesak yang perlu diberi perhatian masyarakat.

“Kita mengambil inspirasi daripada kes-kes yang berlaku, namun diolah secara fiksyen. Saya tidak mahu naskhah ini mengguris kembali hati keluarga mangsa untuk kali kedua sekiranya dipaparkan secara bulat-bulat,” katanya semasa sidang pelancaran filem terbabit, hari ini.

Dalam pada itu, pengarah filem Oppa itu memilih isu buli kerana pelaku sering menggunakan alasan gurauan selepas mencederakan atau menyakiti mangsa.

“Saya mahu tegaskan bahawa buli bukan satu gurauan,” katanya lagi.

Tambahnya, filem berkenaan menjalani penggambaran selama 33 hari di beberapa lokasi strategik termasuk PULAPOL, Menara KPJ dan Bukit Aman.

Filem berbahasa Mandarin terbabit dijangka menemui penonton di pawagam pada penghujung tahun ini atau sempena cuti persekolahan dan Tahun Baharu Cina akan datang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok