‘Bukan enggan berlakon, orang yang tak panggil’

DARI gelanggang penggambaran sehinggalah ke dewan persidangan penuh protokol, perjalanan hidup Datin Anne Ngasri bukan kisah dongeng yang tercipta sekelip mata.

Jika dunia seni berakar berbunga di jiwanya sejak usia kanak-kanak, hari ini gelanggang politik pula mengasah ketegasan dirinya sebagai seorang wanita pemimpin yang semakin disegani.

Melangkah keluar dari zon selesa sebagai pelakon untuk memikul amanah masyarakat, Anne membuktikan pesona seorang pelakon sepertinya tidak pernah terbatas di hadapan lensa kamera sahaja, sebaliknya mampu diterjemahkan menjadi khidmat dan tanggungjawab terhadap rakyat.

Transisi antara dua dunia berbeza itu bukan semudah disangka, pemilik nama sebenar Naszriah Ngasri itu membuka lembaran kisah sebenar di sebalik pembabitannya dalam politik, sekali gus menepis tanggapan kononnya dia hanya menumpang kabel suami yang besar pengaruh.

Politik dalam darah

Bergelar isteri kepada politikus Datuk Mohd. Sumali Reduan, Anne akur, ramai menyangka dirinya menyertai politik hanya disebabkan dorongan suami.

DARI pentas lakonan, Anne beralih ke dumia politik yang diminatinya sejak kecil.

Hakikatnya, tidak. Benih kecintaan Anne terhadap perjuangan hak sudah lama bercambah dalam diri sejak kecil.

“Ramai ingat saya masuk politik sebab suami yang bawa. Sebenarnya tidak, bapa saya jadi pengacara persidangan UMNO selama hampir 36 tahun. Sejak kecil saya sudah ikut dia dan membesar dalam suasana politik.

Saya melihat sendiri barisan pemimpin negara, mengikuti perjalanan persidangan dan dari situlah semangat itu mula hidup dalam diri saya. Ayah bukan ahli politik yang mengejar jawatan, tetapi semangat perjuangannya sangat besar.

“Walaupun kerjayanya sebagai pengacara boleh pergi lebih jauh tanpa politik, dia tetap memilih untuk berkhidmat kepada parti kerana rasa kasih dan cintanya. Saya percaya darah politik yang mengalir dalam diri saya berpunca daripada dia,” katanya kepada HibGlam.

Paling penting tegasnya, pengalaman memegang jawatan Ketua Puteri Cawangan pada 2019 sebelum dilantik sebagai Exco Wanita UMNO Malaysia membuka ruang untuk dirinya memahami struktur serta perjalanan politik dengan lebih mendalam.

Kendatipun kerjaya politik dan perniagaan kini menjadi keutamaan, wanita berusia 42 tahun itu bagaimanapun menegaskan cintanya terhadap dunia lakonan tidak pernah pudar.

Diajukan persoalan kononnya kini sengaja menolak tawaran lakonan kerana sudah hilang minat, adik Bell Ngasri itu hanya tertawa.

Bukannya menolak, tapi orang yang tak panggil. Mungkin orang fikir masa saya terhad. Saya pun takut menyusahkan produksi kalau tak dapat beri komitmen penuh.

“Setakat ini saya banyak berlakon dengan produksi kakak saya Darling sebab mereka faham jadual saya.

“Hampir setiap tahun kalau ada drama terbitan mereka, saya akan terbabit.

Kalau ada produksi lain mahu panggil, saya sangat alu-alukan. Kita cuma perlu bincang soal masa dan karakter. Pada usia sekarang, saya juga lebih berhati-hati pilih watak supaya bersesuaian. Berlakon tetap menjadi hobi saya sampai bila-bila,” jelasnya.

Sentiasa berhati-hati

Mengulas sama ada status yang disandang mencetuskan rasa segan dalam kalangan karyawan terhadapnya, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Drama), Anugerah Skrin 1994 itu pantas menepis tanggapan tersebut.

Saya masih seperti dahulu. Saya sangat menghargai wartawan, kru produksi dan semua insan yang membesar bersama perjalanan kerjaya saya. Tanpa mereka, saya mungkin tak jadi seperti hari ini.

“Sebab itu saya sentiasa menghargai semua orang yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup saya,” luahnya.

PERNAH bercerai dan bertahun-tahun hidup sebagai ibu tunggal, semua itu pengalaman mahal yang mematangkan Anne menjadi dirinya seperti terlihat pada hari

Bergelar anak seni, usahawan dan ahli politik dalam satu masa, pasti ada mata memandang dengan iri, malah tidak kurang juga sanggup menjatuhkan melalui cara kasar mahupun halus.

Disoal, adakah pernah menjadi mangsa khianat atau gangguan seperti penyakit ain, Anne percaya setiap ujian berlaku dengan izin Allah dan enggan terlalu memikirkan perkara di luar kemampuan manusia.

“Saya percaya penyakit ain memang wujud seperti dijelaskan dalam Islam. Sama ada kita pernah terkena ataupun tidak, hanya Allah lebih mengetahui. Paling penting, kita sentiasa menjaga setiap percakapan dan tingkah laku.

“Hakikatnya, bukan artis sahaja berdepan perkara sebegini. Apa juga pekerjaan, pasti ada orang kurang senang melihat kejayaan kita. Saya sendiri bukanlah hidup tanpa ujian.

Saya pernah melalui episod perceraian, berkahwin semula, membesarkan anak sebagai ibu tunggal selama tiga tahun selain berdepan pelbagai cabaran lain. Semua itu menjadi proses mematangkan diri dan mengajar saya erti kehidupan,” tambahnya.

Mengulas kecaman netizen pula, pelakon drama Cili Padi itu mengakui sudah terlalu lama berada dalam industri sehingga tidak lagi mudah terusik dengan kata-kata negatif.

“Saya tidak boleh marah atau berkecil hati dengan pandangan orang, sebab setiap orang ada pendirian, matlamat dan cara fikir masing-masing.

“Saya percaya apa sahaja saya kecapi hari ini lahir daripada doa mereka. Saya tidak melayan dan membaca semuanya.

Nak sekat orang pun tidak. Banyak lagi perkara lebih penting untuk saya lakukan. Lagi pun, kalau tiada teguran atau kritikan, mungkin kita juga tidak akan menjadi manusia lebih baik. Jadi saya ambil sahaja apa yang baik dan selebihnya saya serahkan kepada Allah,” ujarnya.

MENYEDARI situasi adiknya, Anne mahu selama-lamanya menjaga Baby dan kalau boleh biarlah dia tetap di sisi sehingga adik istimewanya itu menutup mata.


Baby anugerah istimewa

Beralih haluan soalan, penulis sengaja mengajak ibu enam anak itu berbicara tentang adik bongsunya, Nassuhada Ngasri atau lebih mesra disapa Baby, insan istimewa yang menghidap sindrom Down.

Menyelinap dasar hati, adakah pernah terlintas andai suatu hari nanti dijemput Ilahi terlebih dahulu sebelum Baby, mata Anne jelas menyimpan seribu rasa sebelum perlahan-lahan bibirnya menyusun bicara.

Sama ada saya sanggup pergi dahulu, sudah tentu saya tidak mahu. Kalau Allah izinkan, biarlah saya terus menjaga dan menatap Baby sehingga ke akhir usianya. Tetapi soal hidup dan mati bukan hak kita. Saya reda dengan segala takdir Allah.

“Tanggungjawab kami cuma satu, memastikan Baby membesar dalam suasana penuh kasih sayang, gembira dan bahagia. Itu sudah cukup buat kami sebagai sebuah keluarga,” ulasnya.

Menurut Anne, sejak ibunya semakin uzur akibat faktor usia, adiknya yang kini berusia 32 tahun itu banyak menghabiskan masa bersamanya hampir setiap hujung minggu.

Rutin tersebut mengeratkan hubungan sehingga dia lebih memahami minat sebenar adik kesayangannya itu.

“Baby banyak bersama saya setiap Khamis hingga Ahad. Sejak emak kurang sihat dan sudah berusia 71 tahun, saya banyak ambil alih untuk menjaganya.

Bila Baby bersama saya, saya mula nampak dia sebenarnya sangat meminati dunia hiburan. Mulanya saya terkejut. Rupa-rupanya darah seni juga mengalir dalam diri,” tutupnya.

Melihat kecenderungan Baby terhadap dunia seni, Anne mengambil keputusan memberi peluang kepada ‘insan syurga’ itu menjadi wajah rasmi produk tudung miliknya, AN Bawal Exclusive.

Mencipta momen, jelasnya, keputusan tersebut tidak sekadar didorong rasa simpati, sebaliknya kerana benar-benar mahu menghargai bakat semula jadi dimiliki Baby. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok