AKTRES Christina Applegate akhirnya dibenarkan pulang rumah selepas hampir empat bulan menerima rawatan di hospital, sekali gus melegakan kerisauan peminat yang mengikuti perkembangan kesihatannya sejak akhir Mac lalu.
Bintang siri Dead to Me itu dilaporkan semakin pulih, namun sehingga kini punca sebenar dia dimasukkan ke hospital masih belum didedahkan.
Difahamkan, keadaan tersebut mungkin berkaitan penyakit multiple sclerosis (MS) yang dihidapinya sejak 2021, namun perkara itu belum disahkan doktor.
Sebelum ini, jurucakap Applegate hanya memaklumkan aktres berusia 54 tahun itu berdepan beberapa masalah kesihatan yang kompleks, namun enggan mengulas lanjut mengenai rawatan diterimanya.
Beberapa hari selepas berita kemasukannya ke hospital menjadi perhatian, Applegate menerusi Instagram meluahkan apresiasi kepada peminat yang tidak putus-putus mengirimkan doa.
“Masalah kesihatan adalah sebahagian daripada hidup saya setiap hari. Namun, saya seorang wanita yang kuat dan setiap hari saya menjadi lebih kuat serta semakin baik,” katanya.
Sementara itu, rakan baiknya juga pelakon David Faustino berkata, perjuangan Applegate melawan penyakit multiple sclerosis bukan sesuatu yang mudah, namun dia tetap berusaha mengharunginya dengan sikap positif.
Pergerakan Applegate semakin terbatas sehingga terpaksa menghabiskan banyak masa atas katil. – HIBGLAM
