PENGASAS Bersama dan Penerbit Eksekutif Lomo Pictures, Aron Koh, dianugerahkan Honorary Fellowship oleh Lincoln Professional Academy sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besarnya dalam pembangunan industri filem serta usaha memperkukuh kerjasama kreatif di peringkat serantau.
Sepanjang lebih sedekad berkecimpung dalam industri, penerbit filem Malaysia itu memainkan peranan penting menerusi penerbitan filem bebas, jalinan kerjasama rentas negara serta pelbagai inisiatif yang menghimpunkan pembikin filem, institusi dan komuniti kreatif di seluruh rantau Asia-Pasifik.
Penglibatanya merangkumi bidang penerbitan filem, penganjuran festival filem antarabangsa dan pendidikan kreatif, sekali gus mencerminkan komitmennya yang berterusan dalam memperkukuh kedudukan Malaysia dalam landskap perfileman Asia-Pasifik.
Penganugerahan Honorary Fellowship itu bukan sekadar satu penghormatan berprestij, malah menjadi pengiktirafan terhadap sumbangan berterusan Aron dalam penerbitan filem, memperkukuh pertukaran budaya dalam industri filem dan televisyen serta memajukan pembangunan sektor berkenaan.
Sepanjang kerjayanya, beliau aktif menggalakkan kerjasama antara Malaysia dengan industri filem dan televisyen di Hong Kong, Taiwan, tanah besar China dan Singapura.
Pengiktirafan tersebut turut mengukuhkan kredibiliti serta reputasi Koh dalam komuniti perfileman antarabangsa, di samping meningkatkan perhatian terhadap setiap projek, kerjasama antarabangsa dan inisiatif yang diterajuinya bagi memajukan industri filem dan televisyen.
Adalah satu penghormatan besar untuk menerima fellowship ini.
“Pengiktirafan ini bukan hanya milik saya, tetapi juga kepada semua pembikin filem, pencerita dan rakan kerjasama yang pernah saya berpeluang bekerjasama sepanjang perjalanan kerjaya saya.
“Kami berkongsi kepercayaan bahawa sesebuah cerita mempunyai kuasa untuk menghubungkan manusia merentasi budaya, dan saya berharap kami dapat terus membuka lebih banyak peluang kepada bakat Malaysia serta membawa kisah-kisah tempatan ke pentas dunia,” katanya.
Antara sumbangan paling signifikan Koh ialah apabila dilantik sebagai Pengerusi Penganjur Festival Filem Asia-Pasifik (APFF) ke-61 dan ke-62, antara festival filem paling lama dianjurkan serta paling berprestij di rantau ini.
Festival yang berlangsung di Malaysia itu menghimpunkan pembikin filem, penerbit, pelabur serta pemain industri dari seluruh Asia-Pasifik sebagai platform dialog, kerjasama dan pertukaran budaya, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam komuniti perfileman serantau.
Selain itu, Koh juga merupakan Pengasas dan Pengerusi Penganjur Festival Budaya Filem China-Malaysia yang baru sahaja menutup tirai penganjuran edisi ketiganya.
Festival berkenaan diwujudkan bagi mengukuhkan hubungan budaya dan industri antara Malaysia dan China menerusi medium perfileman, selain menjadi platform kepada pembikin filem, penggiat kreatif dan institusi dari kedua-dua negara untuk bertukar idea, menjalin kerjasama strategik serta memperkukuh persefahaman melalui penceritaan. – HIBGLAM
