‘Joging, kurangkan gula, saya turun 7kg dalam sebulan’

DEMI menjayakan watak dalam sebuah filem baharu, pelakon Sweet Qismina sanggup menurunkan berat badan sebanyak tujuh kilogram (kg) dalam tempoh sebulan.

Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi, 29, mendedahkan terpaksa berlari sejauh 3 kilometer (km) setiap malam dan mengurangkan pengambilan gula demi mendapatkan berat ideal.

“Ya, alhamdulillah saya turun tujuh kilogram dalam masa sebulan untuk memenuhi tuntutan watak.

“Saya dapat tawaran sebuah filem dan memang sebulan sebelum masuk set dia dah minta saya joging untuk stamina dan fit.

“Cerita itu filem ‘slasher’, kalau boleh saya tak nak ceritakan lagi sebab rahsia tapi kami dah habis penggambaran. Disebabkan itu, suami saya setiap malam buat saya berlari 3km.

“Tak adalah tak makan manis langsung tapi saya kurangkan gula dengan jumlah yang banyak,” katanya kepada HibGlam ketika konsert Big Stage X Rocketfuel minggu keempat.

Pada masa sama, pemilik trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) itu mengakui berasa tertekan sepanjang tempoh menurunkan berat badan.

“Dua benda yang memang stres sebenarnya nak kena kurus dalam masa sebulan. Masa sama, kena ‘workout’ untuk mendapatkan tenaga.

“Agak tertekan di situ tapi sepanjang perjalanan bila masuk set penggambaran saya berlari juga. Jadi sebab itu saya fikir berat saya makin lama makin kurang,” katanya lagi.

Ditanya mengenai trend atau kaedah rawatan kurus seperti suntikan, pelakon filem Babah itu tidak terfikir untuk melakukannya kerana mempunyai suami yang boleh membantunya menguruskan badan.

“Alhamdulilah belum lagi terfikir (cara cucuk) sebab saya masih ada suami yang boleh jadi jurulatih peribadi.

“Mungkin kalau saya ambil dan benda itu baik, saya rasa memang bagi sesuatu yang berbaloi, positif dan tak bahaya saya akan kongsikan,” jelasnya.

Sebelum ini, Sweet pernah menurunkan berat badan sebanyak 10kg demi menjayakan watak pesakit Sindrom Guillain-Barre dalam filem Babah.

Sweet mendapatkan nasihat pakar nutrisi dan mengamalkan diet liquid selain menyangkal dakwaan melakukan prosedur bariatrik atau potong usus untuk menurunkan berat badan dalam masa yang singkat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok