MENGAKUI berlaku tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melibatkan syarikatnya, penyanyi juga pengasas Bizmilla Wedding Hall, Mila Jirin tidak menolak wujudnya tokok tambah cerita di laman sosial yang memberi gambaran salah terhadap dirinya.
Mila atau nama sebenar Norsyarmilla Jirin, 39, berkata sebagai majikan tentu sahaja kebajikan pekerja yang menjadi teras utama syarikat tetap dipelihara apabila berusaha menyelesaikan isu berkenaan secara berjadual.
“Dakwaan itu (tunggakan KWSP ada betul dan ada yang tidak. Ada perkara yang ditambah, malah sebenarnya sudah pun kami selesaikan. Cerita di Threads itu pun kita tidak tahu bila berlaku atau siapa yang bercakap, Tak mengapalah, itu hak mereka. Saya tidak pernah nak balas balik.
“Paling penting, semua pekerja dilindungi akta, majikan tidak. Apa pun jangan risau, apa yang kita boleh uruskan, kita uruskan. Sekarang ini kami sedang membuat pembayaran secara berjadual.
“Di Bizmilla, kami mengutamakan gaji pekerja dan semua kelebihan yang mereka dapat. Segala yang tertunggak juga kami akan uruskan,” katanya selepas pelancaran single terbaharunya, Tersimpan Dalam Hati, semalam.
Pada masa sama, juara Akademi Fantasia musim lima (AF5) itu hanya mahu fokus terhadap penyelesaian isu, bukan melayani desas-desus tanpa asas yang disebarkan di media sosial bagi mengkucar-kacirkan keadaan.
“Saya memang bukan majikan dari syurga tapi saya hargai usaha pekerja saya. Selalu saya tekankan, mereka punya kelebihan tersendiri dan kami ditakdirkan untuk bekerjasama
“Jadi daripada saya runsing tentang masalah, lebih baik saya fikir cara untuk menyelesaikannya. Sebab itu saya tidak pernah membalas apa sahaja tuduhan di media sosial.
“Bagi saya, ada betul dan salahnya. Ada potensi orang menambah-nambah cerita. Kalau kita menjawab, kita sebenarnya memberi ruang kepada perkara itu menjadi lebih besar,” ujarnya.
Tidak menolak kemungkinan individu yang membuat dakwaan mempunyai alasan tersendiri, katanya biar apa pun dakwaan, semua tindakan syarikat adalah bersandarkan prosedur operasi standard (SOP).
“Mungkin mereka tidak berpuas hati, mungkin diberhentikan selepas menerima surat amaran, kita tidak tahu. Apa yang penting saya sentiasa berjuang bersama kakitangan saya dan memastikan mereka menerima gaji.
“Kalau saya bukan majikan yang baik, tidak mungkin pasukan saya mampu menguruskan semua majlis terutama hari pelancaran single baharu saya ini dengan begitu baik,” katanya.
Terdahulu, Mila yang lebih dulu berkecimpung dalam bisnes katering mengusahakan dewan perkahwinan sejak 2013 di beberapa negeri dengan disokong lebih 200 kakitangan tetap. – HIBGLAM
