PENYANYI juga pelakon, Jennifer Lopez atau JLo dikhabarkan kecewa apabila usahanya mahu menjual kediaman mewah yang pernah dimiliki bersama bekas suaminya, Ben Affleck menemui jalan buntu.
Menurut laporan TMZ, urusan penjualan rumah agam di Beverly Hills itu pada awalnya dilihat hampir berjaya apabila seorang calon pembeli sudah membayar wang pendahuluan.
Begitupun, atas sebab yang tidak didedahkan, urusan jual beli tersebut dibatalkan, sekali gus memaksa ejen mencari pembeli baharu selepas berbulan-bulan proses rundingan.
Lopez dan Affleck membeli kediaman tersebut pada 2023 dengan nilai sekitar RM245 juta sebelum meletakkannya di pasaran setahun kemudian pada harga RM278 juta.
Selepas gagal menarik pembeli, harga jualan diturunkan beberapa kali iaitu kepada RM212 juta sebelum dipotong kepada RM204 juta.
Difahamkan, iklan penjualan rumah tersebut kini ‘hilang’ daripada beberapa laman sesawang hartanah, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi.
Dalam perkembangan sama, ada laporan mendakwa Affleck sudah menandatangani dokumen bagi memindahkan hak pemilikannya kepada Jennifer Lopez.
Kediaman itu dilengkapi 12 bilik tidur, 24 bilik air, kolam renang, gelanggang sukan, pusat kecergasan, gelanggang tinju, ruang santai, penthouse tetamu serta parkir untuk 80 kenderaan. – HIBGLAM
