PELAKON Hollywood, Leonardo DiCaprio menjadi bualan ramai apabila dilaporkan memberikan tip luar biasa sebanyak €50,000 atau RM233,000 kepada seorang pelayan restoran di Saint-Tropez, Perancis.
Perkara tersebut dikongsikan pengacara televisyen Perancis, Benjamin Castaldi yang menyaksikan bintang berusia 51 tahun itu membuat pembayaran menggunakan kad dipercayai bernilai eksklusif.
Castaldi berkata, jumlah tip yang diberikan menyebabkan pelayan terbabit tidak dapat menahan emosi sehingga mengalirkan air mata.
Di Perancis, pelanggan kebiasaannya hanya memberikan tip sekitar RM9 hingga RM23, menjadikan pemberian DiCaprio antara tip terbesar pernah direkodkan dalam industri restoran negara itu.
Jumlah pemberian tersebut bahkan dipercayai lebih tinggi daripada keseluruhan bil makan malam rombongan pelakon filem Titanic itu pada malam berkenaan.
Perkongsian kisah tersebut tular dalam media sosial dengan rata-rata netizen memuji kemurahan hati DiCaprio yang menghargai jasa petugas perkhidmatan. – HIBGLAM
