Rebah waktu persembahan, pemain dram Meditasi meninggal dunia

PEMAIN dram kumpulan rock Meditasi, Raja Azreen Raja Talib menghembuskan nafas terakhir ketika menjayakan persembahan di sebuah festival di Kuantan, Pahang, 11.30 malam tadi.

Khabar duka mengenai pemergian penggiat muzik otai itu kongsikan ramai di laman sosial termasuk rakan seperjuangan juga vokalis kumpulan Masa Legacy, Zack.

Assalamualaikum, mendapat perkhabaran duka pemain dram kumpulan Meditasi, Abang Azreen Meditasi telah kembali ke Rahmatullah (malam) tadi sewaktu membuat persembahan di Rock Festival Teruntum.

“Marilah kita sama-sama sedekahkan al-Fatihah buat arwah dan salam takziah buat keluarga arwah,” tulisnya.

Difahamkan, Allahyarham rebah secara tiba-tiba ketika sedang beraksi bersama kumpulannya di festival berkenaan sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Sementara itu, vokalis kumpulan terbabit, Burn menerusi perkongsian di Facebook (FB) memaklumkan jenazah tiba di surau Bangi Perdana, Bangi pagi tadi.

“(Van) membawa jenazah sekarang sudah bergerak dari Kuantan. Dijangka tiba di Surau Bangi Perdana, Jalan 3/7 BBB sekitar pukul 9 pagi,” katanya.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bandar Baru Bangi, Sungai Tangkas selepas zuhur.

Mengingkap sejarah Meditasi, kumpulan rock berasal dari Raub, Pahang itu ditubuhkan pada pertengahan tahun 1980-an.

Nama band itu memuncak beberapa tahun kemudian selepas lagu mereka menjadi siulan termasuk Biar Pedih Kasih Memanjang, Bidadari dan Hukuman Pada Pesona. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok