PELAKON Elfira Loy belum bersedia membenarkan dua cahaya matanya menceburi dunia seni dan komersial meski dirinya sendiri memulakan kerjaya dalam industri hiburan sejak usia kanak-kanak.
Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri berkata, anak-anaknya yang baru berusia tujuh dan empat tahun itu belum menunjukkan minat bekerja di hadapan kamera selain masih terlalu kecil.
“Sebenarnya anak-anak saya sangat peramah, tetapi mereka tidak boleh bekerja dengan orang sebab mungkin tak biasa.
“Jadi kalau boleh saya tak mahu paksa atau suruh mereka berada di depan kamera bukan masa sekarang,” katanya ketika ditemui pada kejohanan Blossom Rally Picklerball 2026 di Tomaz Picklerball Club, semalam.
Begitupun, katanya dia tidak menghalang permata hatinya terlibat dalam sesebuah promosi atau program bersesuaian lebih-lebih lagi jika bersamanya.
Elfira bagaimanapun enggan mendedahkan permata hatinya kepada sesi fotografi atau penggambaran yang mengambil masa terlalu panjang.
“Kalau program santai yang bersesuaian saya okey tapi jika sesi fotografi berjam-jam, emosi anak saya akan terganggu. Saya tak nak mereka ingat pengalaman berada di set atau sesi fotografi sebagai sesuatu yang tidak menyeronokkan.
Mungkin apabila mereka makin membesar dan sudah faham tekanan bekerja, barulah saya akan perkenalkan mereka kepada dunia ini,” kongsinya.
Pelakon berusia 32 tahun itu berkata, pengalaman membesar dalam industri seni di bawah pengawasan ketat ibunya juga banyak mempengaruhi cara membesarkan anak-anak.
Namun dia bersyukur apabila dari kecil setiap pergerakannya dipantau selain industri ketika itu mempunyai garis panduan yang lebih ketat berbanding sekarang.
Dalam perkembangan lain, pelakon drama Cinta Untukku itu mengakui masih menerima tawaran lakonan, tetapi buat masa ini memilih fokus membesarkan anak-anak.
Terdahulu, Elfira mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Muhamad Faris Khairol Anuar pada 1 Januari 2019. – HIBGLAM
