Lima bintang Korea ‘pulau’ makanan segera

MENGEKALKAN tubuh sihat dan penampilan sempurna bukan bergantung kepada senaman semata-mata, sebaliknya turut memerlukan disiplin tinggi dalam menjaga pemakanan.

Atas sebab itu, ramai selebriti Korea Selatan memilih menolak makanan segera kerana percaya hidangan berlemak, tinggi gula serta rendah nutrisi akan menjejaskan kesihatan, stamina dan prestasi kerjaya.

Ada yang sanggup memasak sendiri setiap hari, tidak kurang juga berpegang pada diet ketat demi memastikan tubuh sentiasa cergas, kulit kekal berseri serta vokal terus berada pada tahap terbaik.

Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa selebriti terkenal Korea Selatan yang menjadikan makanan segera sebagai ‘musuh’ utama demi mengekalkan tubuh sihat dan kerjaya cemerlang sehingga menjadi inspirasi ramai pengikut setia.

D.O.

Anggota kumpulan EXO ini cukup dikenali sebagai selebriti yang sangat mementingkan pemakanan sihat.

Bagi pemilik nama sebenar Do Kyung-soo, makanan segera bukan pilihan walaupun jadual kerja padat.
Idola berusia 33 tahun itu percaya tubuh ideal serta kulit bersih berpunca daripada disiplin menjaga pemakanan selain menjadikan air putih sebagai minuman wajib, sekali gus mengetepikan minuman bergas dan bergula.

Malah, demi menjayakan pertunjukkan pentas, D.O. sanggup menjalani diet bebas makanan segera bagi memastikan kekal cergas.

Komitmen tersebut turut diterapkan ketika melunaskan amanah sebagai pelakon. Demi menjayakan watak antagonis dalam projek The Sculpture City, dia menjalani diet ketat tanpa makanan segera dan alkohol sehingga berjaya mencapai bentuk badan dikehendaki.

Kim Jong-kook

Jika bercakap tentang gaya hidup sihat, nama penyanyi Kim Jong-kook pasti berada di tangga teratas.

Anggota Running Man itu terkenal dengan disiplin ekstrem sehingga digelar ‘Polis Makanan Sihat’ oleh rakan-rakan artis.

Baginya, tubuh pelaburan jangka panjang dan atas alasan tersebut dia mengamalkan peraturan ketat dengan mengelakkan tiga bahan utama iaitu gula, tepung gandum dan garam berlebihan.

Burger, piza, mi segera serta ayam goreng tepung langsung tidak mendapat tempat dalam menu hariannya selain enggan makan lewat malam dan percaya proses bersenam hanya benar-benar selesai selepas tubuh menerima nutrisi terbaik.

Sebagai pengganti makanan segera, pelantun lagu One Man itu menghasilkan sendiri menu tinggi protein seperti dada ayam rebus, ubi keledek, telur, sayur-sayuran segar serta jus istimewa campuran dada ayam, pisang, badam, beri dan sayuran hijau.

Hasil disiplin puluhan tahun, selebriti berusia lebih 50 tahun itu masih bertubuh kekar serta memiliki stamina luar biasa. sehingga membuatkan rakan-rakan sering berasa segan menikmati makanan segera di hadapannya.

Yoo Yeon-seok


Aktor Yoo Yeon-seok juga sangat berdisiplin dalam soal pemakanan. Daripada membeli makanan segera, dia lebih rela ke dapur untuk masak sendiri juadah sihat.

Bagi bintang drama Phantom Lawyer itu , memasak memberi kawalan penuh terhadap bahan digunakan termasuk kandungan garam, minyak serta sumber protein sekali gus memastikan setiap hidangan lebih sihat dan seimbang.

Minat terhadap masakan bukan hanya memenuhi tuntutan diet, malah berkembang menjadi hobi penting dalam hidupnya.

Walaupun tidak menganggap dirinya chef hebat, lelaki berusia 42 tahun itu tetap selesa menyediakan makanan sendiri.
Amalan tersebut turut memudahkannya mengekalkan bentuk badan atletik bagi memenuhi tuntutan pelbagai watak, termasuk doktor, atlet dan karakter aksi.

Lee Joon-gi


Aktor Lee Joon-gi cukup terkenal dengan komitmen menjaga tubuh demi memastikan setiap adegan lasak dapat dilakukan sendiri tanpa khidmat pelakon lagak ngeri.

Disebabkan kerap mengalami tekanan fizikal, doktor menasihatkan jejaka berusia 44 tahun itu supaya mengurangkan pengambilan tepung serta karbohidrat olahan kerana boleh mencetuskan keradangan dan tubuh membengkak selepas kecederaan.

Makanan segera, hidangan tinggi lemak dan karbohidrat diproses terus diketepikan demi memastikan tubuh kekal fleksibel, ringan serta pantas ketika menjayakan babak aksi.

Diet ketat itu turut membantu mengekalkan wajah awet muda, garis rahang tajam serta kulit tegang walaupun usianya sudah memasuki lingkungan 40-an.

Kim Junsu


Kim Junsu pernah berdepan cabaran besar apabila berat badannya meningkat ketika menjalani latihan khidmat ketenteraan. Aktiviti makan bersama rakan menjadi rutin harian sehingga jarum penimbang naik tanpa disedari.

Namun sebaik menerima tawaran membintangi muzikal Elizabeth, jejaka berusia 39 tahun itu nekad mengubah gaya hidup dengan menjalani diet selama empat hingga lima bulan sebelum tamat perkhidmatan tentera.

Lebih mencabar, Junsu menjadi satu-satunya individu dalam kelompok rakannya memilih untuk tidak menikmati makanan segera, sekali gus menguji kekuatan mental dan disiplin diri.

Selain itu, dia turut mengelakkan tabiat makan lewat malam kerana bimbang asid perut menjejaskan pita suara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok