MESKI dibesarkan dalam keluarga selebriti, penyanyi Auddra mengakui kurang mengenali penggiat seni tanah air terutama golongan senior.
Auddra atau lebih mesra disapa Oddah, 17, memaklumkan ibunya yang juga penyampai radio, Sharifah Shahirah, memainkan peranan besar dalam membantunya mengenali rakan industri.
“Sekarang bila dah jadi artis, saya mula kenal ramai orang. Dulu Ameng Spring pun saya tak kenal. Bila jumpa baru saya tahu, ‘Oh, inilah Ameng Spring’.
“Mama saya memang selalu pesan, ‘Oddah kena kenal artis ini, kena kenal artis itu’.
“Dalam kereta pun mama selalu ‘brief’ (terangkan) saya. Kalau saya nak berlakon dengan sesiapa, saya akan tanya mama dulu,” katanya kepada HibGlam semasa sidang media Siri Travelog Hotlink: Geng Bijak Berbajet, semalam.
Bagaimanapun, bekas peserta program Talk To My Manager musim pertama (TTMM1) itu tidak kisah sekiranya ada pihak mempertikaikan pengetahuannya mengenai industri hiburan tempatan kerana percaya situasi itu perkara biasa bagi generasi seusianya.
“Saya tak kisah kalau orang nak cakap macam itu sebab saya rasa bukan saya seorang. Ramai lagi Gen Z yang tak kenal artis senior.
“Sebelum ini saya pernah dengar nama Kamal Adli, cuma tak pernah jumpa dan tak berapa familiar dengan wajahnya.
“Mama saya selalu membebel, cakap ‘handsomenya Kamal Adli ni’. Bila dah jumpa abang Kamal Adli, barulah saya tahu dia seorang yang sangat baik.
“Artis-artis yang saya kenal kebanyakannya kawan-kawan papa dan mama, jadi memang saya familiar dengar nama mereka,” katanya lagi.
Namun, Oddah tetap mengambil inisiatif sendiri untuk melakukan pencarian mengenai latar belakang artis yang bakal ditemui demi menjaga reputasi keluarga.
“Saya tak nak memalukan nama mak saya. Jadi, walaupun saya tak tahu, saya kena ambil tahu juga. Pengurus saya pun banyak membantu.
“Contohnya baru saya tahu abang Kamal Adli pernah berlakon dengan ibu saudara saya, Sharifah Sakinah.
“Saya terus cari dan buat sedikit penyelidikan mengenai dia,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Oddah bakal muncul dalam Siri Travelog Hotlink: Geng Bijak Berbajet yang dikendalikan pelakon Kamal Adli.
Oddah juga bakal melancarkan single pertamanya berjudul Gelanggang Rasa yang akan dilancarkan dalam masa terdekat. – HIBGLAM
