PENAMPILAN dilihat semakin kemas, penyanyi Haqiem Rusli mengakui isterinya, Anis Sofea menjadi insan paling banyak membentuk dirinya ke arah perubahan positif tersebut.
Ujar Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli, 28, selepas mendirikan rumah tangga, isterinya banyak menegur sikap, penampilan serta cara berfikir sehingga menjadikan dirinya lebih matang sebagai seorang suami dan anak seni.
“Sejujurnya, insan paling banyak menegur dan mendorong saya berubah menjadi lebih baik ialah isteri saya. Dialah banyak mengajar saya.
Kalau dahulu mungkin saya agak sombong sedikit. Dia banyak buang perangai toksik dalam diri saya. Pernah dia tegur, takkan setiap kali membuat persembahan saya pakai jaket sama sahaja?
“Dari situ saya sedar, kalau orang sudah membayar untuk melihat persembahan kita, kita juga perlu melabur demi memberi persembahan terbaik. Dia juga suruh saya beli mikrofon baharu dan memperbaiki banyak perkara,” katanya kepada HibGlam.
Dalam masa sama, pelantun lagu Mimpi itu mengakui perkahwinan mengubah dirinya daripada seorang lelaki yang beremosi kepada individu lebih tenang serta matang ketika berdepan pelbagai situasi.
“Selepas berkahwin, saya banyak belajar. Saya tidak kata sudah matang seratus peratus, tetapi alam perkahwinan memang banyak mengajar saya menjadi manusia lebih baik.
Dulu saya seorang yang emosional. Kalau terasa hati atau tercetus sesuatu isu, saya terus balas dalam media sosial. Sekarang isteri banyak mengajar cara berkomunikasi, cara berfikir, apa boleh cakap dan apa tidak. Kami belajar bersama-sama.
“Saya memang degil dahulu. Umur 17 atau 18 tahun, cakap mak pun susah dengar tapi apabila ada isteri, teguran itu berbeza. Bukan membebel, tetapi menasihati supaya menjadi insan lebih baik. Di situlah pentingnya seorang isteri dalam hidup,” ujarnya pada Majlis Apresiasi Guru Pahang 1st, semalam.
Mengulas pujian ramai terhadap penampilan baharunya sejak kebelakangan ini, Haqiem berkata setiap kritikan daripada peminat mahupun netizen sentiasa dibaca dan dijadikan panduan untuk terus berkembang.
“Saya memang baca semua komen, sama ada positif atau negatif. Ramai kritik kenapa dahulu saya tidak menjaga penampilan, jadi saya ubah. Orang tegur rambut saya selekeh, saya ambil penata gaya rambut.
“Mereka tanya kenapa saya tidak berani berkolaborasi, jadi saya bekerjasama dengan Hael Husaini dan Naim Daniel. Semua kritikan saya ambil sebagai pengajaran.
Saya cuma berharap kalau hendak menegur, tegurlah dengan beradab. Saya boleh terima teguran kasar atau lembut, tetapi cara menyampaikan itu penting. Saya tidak akan melawan atau memberi respons,” jelasnya.
Pun begitu, dia turut mengakui setiap komen negatif tetap menyakitkan hati, namun memilih untuk menjadikannya sebagai pembakar semangat memperbaiki diri.
“Memang sakit hati apabila membaca komen negatif, tetapi saya tidak perlu membalasnya.
Ada teguran walaupun kasar, sebenarnya ada manfaat. Saya masih dalam proses menjadi insan lebih baik dan saya percaya proses itu tidak akan pernah berhenti,” luahnya.
Terdahulu, penampilan baharu Haqiem mencuri perhatian ramai apabila tampil lebih segak ketika membuat persembahan mengundang pujian netizen terhadap transformasi positif penyanyi tersebut. – HIBGLAM
