‘Terus kuat, yakin dengan keadilan’ – Titipan semangat Fatiya buat Syed Saddiq

TERBUKA  menyuarakan sokongan, pelakon Fatiya Latiff menitipkan kata-kata semangat buat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq yang berhadapan penangguhan keputusan rayuan akhir kesnya, semalam.

Fatiya atau nama lengkapnya, Nur Fathia Abdul Latiff, 38, berharap bekas Menteri Belia dan Sukan itu terus cekal serta bersabar dalam menghadapi sebarang situasi yang tidak dijangka.

“Saya benar-benar berharap Syed Saddiq terus bersabar dan kekal kuat dalam menghadapi tempoh yang mencabar ini.

“Kelewatan dan perkara yang tidak dijangka sememangnya boleh mendatangkan rasa kecewa.

“Namun saya berharap beliau terus yakin dengan proses keadilan serta diberikan kekuatan untuk terus bertahan sehingga segala urusan ini diselesaikan,” tulisnya dalam platform Threads.

Menerusi hantaran lain, pelakon drama bersiri Ariana Rose itu turut meluahkan pandangan berkenaan situasi tidak dijangka terutama membabitkan kesihatan yang boleh berlaku kepada sesiapa pun.

“Badan kehakiman Malaysia memainkan peranan penting dalam menegakkan kedaulatan undang-undang serta memastikan keadilan dilaksanakan secara adil dan berintegriti.

“Namun, hakim juga manusia biasa dan ada kalanya berdepan keadaan di luar jangka, seperti masalah kesihatan yang sememangnya tidak dapat dielakkan,” ujarnya.

Semalam sepatutnya Syed Saddiq mendapat keputusan rayuan yang
disampaikan panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Begitupun, Datuk Seri Abu Bakar memaklumkan keputusan rayuan akhir itu ditangguhkan ke tarikh 13 Julai ini selepas Datuk Che Mohd Ruzima cuti sakit selama dua hari.

Pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq, 33, daripada empat pertuduhan selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.

Kemudian Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan sehari selepas keputusan tersebut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok