‘Dijemput atau tidak, saya tetap sokong konsert tradisional Siti Nurhaliza’

DIUNDANG atau tidak sebagai artis jemputan dalam Konsert Tradisional Gema Bumantara, penyanyi Noraniza Idris menegaskan sokongannya terhadap Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tetap utuh dan tidak pernah berbelah bahagi.

Ujar Noraniza atau nama sebenarnya Nor Aniza Idris, 58, semangat memartabatkan irama Malaysia tidak seharusnya diukur melalui undangan untuk berkongsi pentas, sebaliknya diterjemahkan menerusi sokongan ikhlas terhadap usaha rakan seperjuangan.

“Industri muzik kita kecil sahaja. Kita boleh menyokong antara satu sama lain dalam apa juga cara, tidak semestinya perlu tunggu dipanggil atau dijemput.

Sejujurnya, saya sudah lama memasang hasrat mahu menonton konsert Siti, sejak zaman arwah Pak Ngah lagi sehingga setiap kali dia mengadakan persembahan. Dia nama besar dan lagu-lagunya sangat popular.

“Saya sendiri membawa irama Malaysia, jadi saya ingin melihat strategi di sebalik kejayaannya. Saya mahu belajar bagaimana lagu tradisional mampu menarik ribuan penonton dan terus diminati pelbagai lapisan masyarakat,” katanya kepada HibGlam.

Menurut pelantun lagu Awallah Dondang itu, hasrat menghadiri konsert Siti sebelum ini sering tertangguh disebabkan komitmen kerja dan faktor kesihatan, namun berharap impian tersebut dapat direalisasikan tahun ini.

“Tahun lepas pun saya berhajat hendak pergi tetapi ada kekangan program CSR dan keadaan kesihatan.

Tahun ini apabila diumumkan konsert berlangsung pada Oktober, memang teringin sangat hendak hadir. Kalau ada rezeki, insya-Allah saya akan datang,” ujarnya pada majlis pelancaran Zapin Living Lab AKZ 6.0, semalam.

Ditanya sama ada menyimpan harapan untuk menerima pelawaan sebagai artis jemputan, Noraniza yang mesra disapa Kak Ani itu memilih bersikap terbuka selain menegaskan tidak pernah meletakkan harapan terhadap perkara tersebut.

“Kalau tiada tawaran pun tidak mengapa. Saya akan tetap menyokong, insya-Allah. Sokongan tidak semestinya perlu berada di atas pentas.

Saya memang tidak suka menyimpan harapan. Kalau ada rezeki, alhamdulillah. Kalau tiada pun tidak mengapa, saya tetap akan memberi sokongan dengan cara lain,” ungkapnya.

Dalam masa sama, dia mengakui berasa bangga melihat keberanian Siti menganjurkan konsert irama tradisional di stadium, sesuatu disifatkannya bukan tugas mudah dalam landskap industri muzik hari ini.

“Sudah tentu saya bangga. Bukan sekarang sahaja, dari awal lagi saya kagum melihat perjalanan konsert-konsert Siti.

Dulu apabila dia berjaya memenuhi Istana Budaya, kemudian Axiata Arena, saya sudah tertanya-tanya bagaimana dia mampu melakukannya. Bukan mudah membawa konsert berteraskan irama Malaysia kerana masyarakat hari ini lebih cenderung muzik komersial.

“Sebab itu saya sangat mengagumi usaha tersebut. Kita tahu bukan mudah menganjurkan persembahan sebesar itu, lebih-lebih lagi untuk lagu tradisional. Usaha sebegini sangat penting demi memastikan warisan muzik kita terus hidup,” luahnya.

Terdahulu, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengumumkan bakal menganjurkan Konsert Tradisional Gema Bumantara di TM Stadium Nasional Bukit Jalil pada 17 Oktober depan.

Konsert berkenaan disifatkan sebagai hadiah istimewa buat peminat selain usaha meraikan serta mengangkat semula keindahan muzik tradisional agar terus relevan merentas generasi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok