PELAKON Ozlynn berharap masyarakat menghentikan amalan membanding-bandingkan kaedah melahirkan anak sama ada secara normal mahupun pembedahan Caesarean (czer).
Berbekalkan pengalaman sendiri yang pernah melalui kedua-dua kaedah, Ozlynn atau nama sebenarnya Rozlinawaty Ismail, 44, menjelaskan bahawa setiap proses kelahiran mempunyai fasa ujian tersendiri.
“Saya ada enam anak, ada czer dan normal. Cerita fasal ‘contraction’ punya sakit, tak tahu nak huraikan macam mana dengan doktor datang korek nak tengok bukaan, sakit sampai jahit pun tak rasa.
“Czer sakit tapi tak macam normal. Proses pantang pula jaga normal lagi senang dari czer.
“Jadi ada pro dan kontra setiap kelahiran. Jadi janganlah nilai orang lahir normal atau czer, semua sakit!
“Lahir setiap anak pun lain-lain ujian dia. Ada yang tengah teran doktor tiba-tiba suruh berhenti sebab tali pusat dah terbelit,” katanya dalam Threads.
Tegas pelakon filem Libang Libu itu, perkara paling penting adalah sokongan moral daripada orang sekeliling buat ibu.
“Jadi untuk saya, hargai setiap kelahiran. Jangan sakiti hati setiap ibu.
“Masing-masing ada ujian masa nak melahirkan. Semua ada kesukaran ya.
“Czer atau normal tetap sakit dan perlu lalui setiap fasa,” katanya lagi.
Dalam masa sama, isteri kepada pelawak Johan itu menitipkan ucapan tahniah kepada wanita yang berjaya bergelar ibu serta tidak melupakan golongan yang sedang berjuang untuk mendapatkan zuriat (Try To Conceive/ TTC).
“Apa pun nak ucap tahniah untuk semua ibu.
“Yang masih TTC saya doakan semoga Allah bagi nikmat mengandung, melahirkan dan membesarkan anak sendiri,” ujarnya.
Untuk info, Ozlynn mendirikan rumah tangga dengan Johan pada 25 Julai 2009.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan enam orang cahaya mata. -HIBGLAM
