‘Sampai hari ini orang masih panggil saya Nurul Ain’ 

SIAPA tidak kenal dengan watak wanita penyondol dalam naskhah fenomena 7 Hari Mencintaiku 2

Hanya dengan satu karakter yang mengundang kebencian ramai itu, nama pelakon Wafariena kian dikenali sekali gus membuka laluan luas untuknya aktif dalam industri hiburan tanah air.

Namun, siapa sangka di sebalik kepelbagaian watak yang pernah dijayakan selepas itu, Wafariena, 31, mengakui impak watak hitam tersebut terlalu kuat sehinggakan dia masih sinonim dengan gelaran ‘Nurul Ain’ dalam kalangan peminat.

Bagaimanapun, anak kelahiran Pulau Pinang itu tetap bersyukur kerana watak ikonik tersebut menjadi asbab namanya kekal bertahan dalam industri sehingga ke hari ini.

“Sampai sekarang, orang masih panggil saya Nurul Ain. Saya dah dapat banyak watak selepas itu, cuma dia tak ‘pergi’ macam Nurul Ain. 

“Tapi saya tak kisah pun sebab bagi saya Nurul Ain adalah satu benda yang sangat mengejutkan. 

“Alhamdulillah perkara tersebut buat saya kekal sampai sekarang,” katanya membuka bicara. 

Berlakon perlahan

Disoal mengenai perjalanan karier seninya yang kelihatan agak perlahan dan mendatar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pemilik nama penuh Wafariena Roslan itu menyangkal tanggapan tersebut. 

Jelasnya, dia lebih selesa mengekalkan momentum sedia ada tanpa terlalu mengejar istilah ‘naik turun’ populariti.

“Saya tak rasa benda ini mendatar atau meningkat, saya cuma nak kekal sebab kadang-kadang orang kata bila kita di atas, akan ada yang di bawah. 

“Saya cuma nak seimbangkan sebab saya pun mungkin akan ada bisnes. 

“Saya tak boleh beritahu lagi bisnes apa dan mungkin lakonan akan dikurangkan,” jelasnya. 

Meskipun bakal beralih ke dunia perniagaan, Wafa menegaskan tidak akan sesekali berhenti berkarya demi memastikan profil seninya sentiasa aktif.

“Saya takkan berhenti berlakon. Kalau dalam sebulan itu sekurang-kurangnya ada satu tawaran kerja kena ada untuk saya. 

“Bukanlah untuk apa, cuma saya nak kekalkan nama,” jelasnya lagi. 

Dalam masa yang sama, Wafa mendedahkan jadual lakonannya sebenarnya masih berjalan seperti biasa, namun memilih untuk tidak menguar-uarkan proses penggambaran kepada umum dalam media sosial.

“Tak (perlahankan dalam karier). Saya menjalani penggambaran tapi tak beritahu kepada umum. 

“Saya tak muat naik dalam mana-mana media sosial. Melainkan dah habis penggambaran, saya akan muat naik it’s a wrap. 

“Memang nak buat stail begitu. Sendiri rasa nak buat sebab bagi saya promosikan adalah bila dah habis penggambaran,” katanya lagi. 

Filem sulung 

Beralih ke perkembangan terbaharu, Wafa teruja berkongsi mengenai filem sulung yang menyaksikannya diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai teraju utama berjudul The Real Mamu.

Wafa mengakui tertarik menerima tawaran filem arahan Abdul Hafiz Abdul Halim kerana tertarik dengan jalan ceritanya yang sarat dengan pelbagai elemen emosi.

“Pertama kali ini adalah filem pertama yang saya ‘lead’. Saya pilih naskhah ini sebab jalan cerita yang sangat seronok. 

“Ada sedih, aksi, cinta dan kekeluargaan dalam jalan cerita. 

“Saya memang Penang, jadi tak ada masalah sangat nak bawa karakter Jasmine dengan loghat utara,” ujarnya. 

Tambah Wafa, dia langsung tidak berdepan tekanan untuk memasuki set penggambaran memandangkan dialek tersebut sudah menjadi identiti dirinya.

“Tak (tertekan), kalau kita nak buat filem yang melibatkan sebutan perkataan dalam dialek utara. 

“Mungkin untuk pelakon yang bukan orang utara, dia akan rasa tekanan sikitlah. 

“Tapi saya akan sarankan untuk pakai bahasa buku, jadi tiada masalah,” tuturnya. 

The Real Mamu bakal menjalani penggambaran pada 25 Jun depan di Pulau Pinang. 

Naskhah yang diarahkan Zulkifli Abu Hassan bersama Dharma Nasution itu merupakan drama komedi kekeluargaan tentang seorang bapa yang mempertahankan maruah dan kebahagiaan anaknya. 

Wafa memegang watak Jasmine yang merupakan seorang gadis cantik dan berpendidikan tinggi, namun kehidupannya dikawal oleh bapanya dalam filem terbitan Z & K creative Sdn. Bhd.

Selain Wafa, The Real Mamu turut dibintangi barisan pelakon seperti Saiful Apek, Wan Raja, Kodi Rasheed dan Didie Alias. 



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok