‘Tujuh tahun tak kerja, saya tak nak susahkan isteri-isteri’

TUJUH tahun tidak aktif dalam industri seni, selebriti versatil Salih Yaacob mengakui hanya mengamalkan prinsip hidup bersederhana untuk meneruskan kehidupan.

Salih atau Mohammad Salih Yaacob, 65, yang kini bergelut dengan penyakit darah tinggi hanya menyerahkan hidupnya kepada ketentuan Yang Maha Esa.

“Sumber pendapatan dan rezeki mesti ada. Dulu adalah tawaran kerja tapi sekarang apa yang orang bagi itulah sumber saya.

“Saya hidup dalam keadaan ala kadar sahaja. Kita nak harapkan bantuan, biar Allah yang bantulah.

“Duit simpanan semua dah habis tapi masih boleh bertahan lagi. Sekarang dah masuk tujuh tahun saya tak bekerja tapi alhamdulillah setakat ini tak pernah terputus bekalan beras, ada orang bagi,” katanya kepada Kosmo! Online pada program ziarah seni Madani Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menyantuni Salih Yaacob, hari ini.

Disoal sama ada pernah melalui kesukaran untuk hidup, bekas penyampai radio Sinar FM itu mengakui tidak pernah berhadapan dengan kesempitan hidup selain bersyukur keperluan asas sentiasa mencukupi.

“Tak ada sesak, saya daripada dulu tidak pernah rasa begitu.

“Lagipun saya tak nak menyusahkan isteri-isteri saya. Ikut apa benda yang ada sudah,” katanya lagi.

Hari ini, Salih menerima kunjungan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching yang menyampaikan bantuan berupa bakul makanan dan wang tunai selain memberi sokongan kepada Salih yang kini kurang sihat.

Hadir sama Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri Finas yang juga Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi.

Sementara itu, Teo Nie Ching memaklumkan inisiatif tersebut diambil selepas pihaknya mengetahui keadaan terkini Salih termasuk masalah kesihatan fizikal yang membataskan pergerakannya.

“Kita berharap sumbangan ini dapat memberi sedikit semangat kepada dia untuk terus kekal positif dan menjalani kehidupan dengan lebih baik.

“Apabila kita mengetahui keadaan kesihatannya yang kurang memuaskan, termasuk masalah tekanan darah tinggi, penglihatan yang semakin lemah dan pergerakan yang agak terbatas, Finas mengambil inisiatif untuk menziarahinya,” katanya.

Difahamkan, seramai 36 penggiat seni yang menerima bantuan daripada program yang bermula pada 2023 pada tahun ini.

Secara keseluruhan, seramai 216 penggiat seni menerima bantuan dengan jumlah sumbangan yang disalurkan mencecah RM164,000.

Sebelum ini, Salih dilaporkan menerima rawatan di Hospital Ampang akibat penyakit darah tinggi yang dihadapi secara tiba-tiba. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok