PELAKON Rita Rudaini menyifatkan gejala buli tidak hanya berlaku dalam kalangan pelajar sekolah tetapi juga tenaga pengajar yang fidak dapat dilihat secara mata kasar.
Rita berkata, realiti sebegitu wujud dalam terutama mereka yang menggunakan jawatan untuk menguasai orang lain.
“Drama Korea Teach You a Lesson mengangkat kisah buli yang berlaku di sekolah, pelajar membuli pelajar dan guru guru.
“Tetapi sebelum terlalu jauh menuding jari, jangan lupa realiti yang juga wujud di sekeliling kita.
“Di sekolah, bukan hanya pelajar yg boleh menjadi pembuli. Ada guru membuli guru dan pelajar,” katanya dalam satu hantaran Threads.
Tambahnya, masalah buli tidak terikat dalam kalangan generasi muda sahaja tetapi realitinya berlaku melibatkan pelbagai peringkat umur dan kerjaya.
“Ada yang menggunakan pengaruh, jawatan dan kuasa untuk menjatuhkan orang lain tanpa sedar bahawa itu juga satu bentuk buli.
“Hakikatnya, pembuli tidak mengenal umur, pangkat atau profesion.
“Pembuli lahir apabila seseorang merasakan dirinya lebih berhak, lebih berkuasa dan lebih penting daripada orang lain,” ujarnya.
Rita menambah, dia juga mempersoalkan sama ada masyarakat yang sering menzahirkan simpati terhadap mangsa buli yang dipaparkan dalam drama akan melakukan hal sama di dunia realiti.
“Kita mudah tersentuh apabila melihat mangsa di layar drama, tetapi adakah kita cukup berani untuk melihat apa yang berlaku dalam dunia sebenar?
“Kerana kadang-kadang pembuli yang paling sukar dikenali ialah mereka yang kelihatan paling dihormati,” jelasnya.
Ketika ini Teach You A Lesson menjadi bahan bualan hangat dalam media sosial susulan mengangkat isu buli melibatkan pelajar sekolah.
Drama tersebut juga meraih perhatian dan ditonton Pengerusi Mara, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki selain berpendapat misinya sama seperti diketengahkan dalam Teach You A Lesson iaitu membanteras gejala buli di sekolah. – HIBGLAM
