PU Riz seru rakyat Malaysia jadi cendekiawan agama

PENDAKWAH bebas terkenal, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz menyeru rakyat Malaysia untuk menjadi golongan cendekiawan yang bukan sahaja memahami ilmu agama, malah berupaya menyebarkan hidayah dan kefahaman Islam kepada masyarakat.

Menurut PU Riz, setiap individu yang berusaha membawa orang lain kembali kepada Allah SWT akan memperoleh ganjaran pahala yang berterusan, khususnya apabila ilmu yang disampaikan itu diamalkan dan diwariskan kepada generasi seterusnya.

Katanya, perubahan seseorang kepada jalan kebaikan boleh berlaku hanya kerana contoh dan bimbingan yang ditunjukkan oleh seorang pendidik atau pendakwah.

“Kalau satu hari nanti ada antara jemaah yang berubah dan mendapat hidayah asbab kita, itu merupakan nikmat yang sangat besar. Seseorang yang menunjukkan jalan kepada kebaikan, mengajak manusia kembali kepada Allah dan memahami agama akan terus menerima pahala walaupun selepas dia meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran Fakulti Pengajian Haji dan Umrah (FPHU), sebuah inisiatif pendidikan yang menawarkan laluan pengajian secara profesional dalam bidang haji dan umrah bermula daripada peringkat diploma sehingga doktor falsafah (PhD).

Menurut PU Riz, penubuhan fakulti tersebut selari dengan aspirasi pembangunan Fiqh Madani yang menekankan kefahaman agama secara mendalam dan sistematik. Beliau berkata, umat Islam perlu memahami hikmah di sebalik setiap ibadah yang dilaksanakan termasuk rukun dan amalan haji serta umrah agar ibadah tersebut dapat dilakukan dengan lebih sempurna dan penuh penghayatan.

“Bersama tenaga pengajar yang berpengalaman, kita mahu memartabatkan pengajian fiqh haji dan umrah serta ilmu fiqh secara umum. Dengan sokongan semua pihak, kita berharap dapat mengangkat industri pendidikan agama ke peringkat yang lebih tinggi dan melahirkan lebih ramai cendekiawan Islam yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok