‘Industri kita suka ‘handsome boy’, saya tak putus asa’

DIANGGAP terlalu pendek untuk memegang watak hero, pelakon Khenobu tidak berkecil hati sebaliknya memilih untuk berdamai dengan realiti industri dan terus melangkah dengan penuh yakin.

Khenobu atau nama sebenarnya Mohammad Faridh Mohd. Yasin, 32, mengakui standard fizikal masih menjadi antara ukuran utama dalam pemilihan pelakon, namun itu bukan penghalang mutlak untuk terus bersinar.

“Bila bercakap soal ketinggian, memang kebanyakan pengarah di Malaysia cenderung memilih pelakon tinggi dan berwajah kacak untuk watak utama. Itu soal cita rasa, bukan kecacatan industri.

Ramai pelakon bertubuh kecil sebenarnya lebih berpengalaman dan hebat dari segi lakonan, cuma mungkin tidak menepati ‘range’ hero idaman. Industri kita memang suka ‘handsome boy’, saya faham perkara itu dan saya terima,” katanya kepada HibGlam.

Tidak menafikan pernah berdepan stereotaip, bintang filem Nar’sata Sekutu Setan itu bagaimanapun melihat kekurangan fizikal sebagai cabaran untuk mengasah kelebihan lain, terutama dari sudut bakat dan teknik lakonan.

Saya tak pernah putus asa sebab saya sedar saya tidak tinggi. Itu hakikat. Tapi kalau pengarah nampak bakat saya, saya boleh beri pelbagai ‘treatment’ dalam lakonan.

“Kalau perlu bermain dengan sudut kamera atau ‘angle’, saya akan cari cara. Bukan sekadar lakonan, tetapi bagaimana nak menyesuaikan diri dengan pasangan pelakon lain,” ujarnya pada sidang media teater Tarik Picu, hari ini.

Dalam masa sama, dia menegaskan keyakinan diri menjadi kunci utama untuk bertahan dalam industri seni yang penuh persaingan.

Malah berharap kehadirannya dalam industri mampu menjadi inspirasi kepada individu lain yang berdepan situasi sama agar tidak mudah menyerah kalah.

“Saya tidak rasa rendah diri sebab sejak kecil saya sudah biasa dengan kawan-kawan yang suka bergurau tentang fizikal. Bila keluar ke dunia luar, saya sudah kebal.

Siapa kata orang pendek tak boleh berjaya? Ramai saja yang berjaya dalam pelbagai bidang. Paling penting, keyakinan diri mesti ada.

“Mungkin ada orang di luar sana yang senasib dengan saya. Saya mahu jadi wakil untuk mereka terus percaya pada diri sendiri dan kejar impian,” luahnya.

Sebelum ini, lakonan Khenobu sering mendapat pujian kerana mampu memberi impak besar kepada penonton, namun masih ada segelintir pihak beranggapan dia sukar menggalas watak hero kerana tidak memenuhi standard fizikal tipikal.

Dalam perkembangan lain, Khenobu bakal tampil dalam pementasan teater Tarik Picu pada 16 hingga 19 Julai 2026 di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) bersama barisan pelakon seperti Arfie Shah, Idan Aedan, Jay Iswazir dan Amalina Arham. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok