BAGAI hela nafas panjang yang sarat emosi, begitulah getar rasa terbit daripada jiwa seorang anak seni saat melahirkan karya pertama.
Dalam dunia muzik tempatan yang semakin sesak dengan kehadiran bakat baharu, muncul Marsya Qistina membawa kisah luka, rindu dan pencarian diri dalam sebuah karya penuh jiwa.
Bukan hanya mempertaruhkan kekuatan lagu, tetapi sebuah naskhah peribadi yang lahir daripada kehilangan paling menyentap nurani.
Melangkah berani dengan single sulung berjudul Siapa Diriku, Marsya mempertaruhkan sepenuh rasa sebagai komposer dan penulis lirik bercerita tentang cinta merungkai kekeliruan diri, rasa ketinggalan serta kegusaran kehilangan insan tersayang.
Segalanya bermula daripada perbualan bersama seorang sahabat yang sering merasakan setiap insan hadir dalam hidupnya tidak pernah kekal lama.
Lebih memilukan, karya tersebut menjadi dedikasi istimewa buat sahabat baiknya yang meninggal dunia akibat leukemia pada Februari lalu.
Momen tersebut menjadi titik paling kelat dalam hidupnya, namun pada masa sama menjadi sumber kekuatan untuk terus berkarya.

MENERUSI Siapa Diriku, Marsya turut membuktikan kemampuannya selaku penulis lirik dan komposer.
Kata pemilik nama sebenar Marsya Qistina Mohamed Shahrin itu, ikatan mereka bukan sekadar persahabatan biasa malah perkenalan sejak bangku sekolah menengah diibaratkan seperti adik-beradik, berkongsi rasa, luka dan mimpi yang sama.
“Saya masih ingat ketika memberikan demo lagu ini kepadanya tahun lalu. Dia terus menghubungi saya dan beritahu lagu ini sangat dekat dengan dirinya. Dia sangat gembira apabila mendengarnya.
Sejak saya mula menulis lagu pada 2022, hampir setiap karya akan saya berikan kepadanya terlebih dahulu. Kalau arwah masih ada hari ini, Siapa Diriku adalah lagu paling saya banggakan kerana lahir sepenuhnya daripada isi hati saya.
“Arwah sahabat baik saya sejak sekolah. Kami sangat rapat, cara berfikir juga hampir sama. Dia antara individu paling memahami diri saya,” katanya kepada HibGlam.
Wanita muda berusia 21 tahun itu turut berkongsi detik sukar dilalui arwah ketika melanjutkan pelajaran di Universiti Utara Malaysia (UUM), apabila disahkan menghidap leukemia selepas mengalami demam berpanjangan.
Sepanjang tempoh itu kami sering berhubung melalui panggilan video. Kemudian saya dapat berita dia dimasukkan ke wad kecemasan. Saya sempat melawatnya di Kedah ketika dia jalani pemeriksaan sumsum tulang.
“Hasil pemeriksaan menunjukkan 99 peratus sumsum tulangnya mengandungi sel kanser. Selepas dipindahkan ke Selangor, hospitalnya pula sangat dekat dengan rumah saya,” kongsinya penuh pilu.
Dari sudut lirik, Siapa Diriku turut mencerminkan realiti kehidupan anak muda yang sering bergelut dengan isu keyakinan diri, termasuk tekanan terhadap standard kecantikan.
“Ketika berbual dengannya, kami sebenarnya berkongsi pengalaman hampir sama.
Pada waktu itu, kami bukan dalam kategori memenuhi standard kecantikan seperti kurus dan tinggi lampai.
“Lagu ini sangat dekat dengan diri saya kerana ditulis ketika saya berada dalam fasa rapuh, penuh persoalan tentang diri sendiri. Saya percaya ramai pernah melalui perasaan seperti ini,” tutupnya.
Menariknya, Marsya turut mencipta sejarah sebagai artis pertama di bawah label LH Pop Talent, sebuah usaha baharu diasaskan dua nama besar industri, Liza Hanim dan Shah Indigo.
Lagu tersebut diterbitkan Archie Nasution selaku penerbit dan penyusun muzik, manakala Shahrin Samsudin bertindak sebagai penerbit eksekutif, dengan edaran oleh Believe.
Dengan melodi menyentuh hati serta lirik jujur, Siapa Diriku kini boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman digital. – HIBGLAM
