22 hari selepas bariatrik, turun 7.4kg – Noraniza Idris

“HARI ini genap 22 hari dan saya berjaya turun 7.4 kilogram (kg). Berat asal saya dulu 87.7kg, sekarang 80.3kg.”

Demikian perkongsian penyanyi Noraniza Idris yang menyifatkan keputusan untuk menjalani pembedahan bariatrik membuahkan hasil apabila berjaya menurunkan berat badan dalam tempoh kurang sebulan.

Lebih mengujakan, pembedahan tersebut sekali gus membolehkan pemilik nama lengkap Nor Aniza Idris, 58, menggayakan semula koleksi pakaian lamanya.

“Paling seronok hari ini saya boleh pakai semula baju-baju tahun 2020.

“Dulu pakai sendat, sekarang dah selesa dipakai, alhamdulillah,” katanya dalam TikTok.

Dalam masa sama, pelantun lagu Dikir Puteri itu menegaskan matlamatnya dalam menjalani prosedur perubatan tersebut bukanlah bersandarkan kepada faktor kosmetik sebaliknya demi kelangsungan tahap kesihatan yang lebih baik.

“Bagi saya buat bariatrik ini bukan semata-mata nak kurus. Kurus itu bonus.

Yang lebih penting, saya nak kembali sihat saja. Lebih selesa bergerak, bertenaga dan dapat menjalani kehidupan lebih baik,” ujarnya.

Meskipun gembira dengan hasilnya, Noraniza atau mesra disapa Kak Ani itu mengakui proses pemulihan selepas pembedahan menuntut kekuatan mental yang tinggi terutama dalam mengawal nafsu makan.

Perjalanan ini memang perlukan sabar dan disiplin terutamanya bila kena ikut jadual pemakanan yang disediakan pakar diet.

“Ada masa teringin nak makan macam-macam, tapi tak boleh.

“Saya sentiasa ingat tujuan asal buat keputusan ini. Syukur alhamdulillah, sedikit demi sedikit dapat rasa perubahan pada diri,” jelasnya.

Sebelum ini, Kak Ani memaklumkan keputusan melakukan pembedahan bariatrik adalah atas faktor kesihatan.

Dia juga bersyukur apabila pembedahan tersebut secara tidak langsung memberi impak positif terhadap kualiti suaranya yang bermasalah sejak enam tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok