DITUDUH terlalu melindungi anak hingga menenggelamkan potensinya, penyanyi Liza Hanim tidak melatah selain menegaskan semuanya berdasarkan naluri seorang ibu yang disifatkan tidak pernah salah.
Ujar Liza atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim, 46, setiap tindakan lahir daripada rasa kasih serta tanggungjawab sebagai ibu, bukan tidak boleh ditegur mahupun menerima pandangan orang ramai tentang anaknya, Marsya Qistina.
“Mungkin ada yang tidak memahami perasaan itu. Pada saya, setiap ibu pasti mempunyai perasaan sama. Bila ada yang mengatakan saya bersikap sedemikian kerana diri saya sendiri, mungkin mereka bukan ibu bapa atau belum melalui situasi ini.
“Sebagai seorang ibu, perasaan itu memang sentiasa ada. Naluri untuk melindungi anak-anak tidak akan hilang. Anak-anak perlu tahu sentiasa ada seseorang menyokong dan membantu apabila diperlukan.
“Bukan bermaksud kita memanjakan sehingga mereka tidak mampu berdikari. Anak saya sangat berdikari dan matang untuk usianya,” katanya kepada Kosmo! Online.
Enggan menyalahkan sesiapa, pelantun lagu Gelisah Mimpi itu bagaimanapun memahami setiap individu mempunyai perspektif berbeza.
“Saya juga tidak rasa terkilan apabila dilabel dengan pelbagai tanggapan. Kalau mahu, saya juga boleh melabel orang lain tidak memahami kerana tidak mempunyai anak. Tetapi saya tidak melihat perkara itu begitu.
“Saya percaya ibu bapa yang benar-benar mengambil berat pasti mempunyai perasaan sama, walaupun tahapnya berbeza.
“Kalau langsung tiada, pada saya agak pelik,” ujarnya pada majlis pelancaran single pertama Marsya Qistina berjudul Siapa Diriku, di sini, hari ini.
Ibu lima anak itu turut mengakui dirinya tidak pernah meletakkan status artis berpengalaman sebagai alasan untuk mempertahankan pandangan, sebaliknya sentiasa terbuka untuk berubah.
“Saya tidak pernah anggap kerana sudah lama dalam industri, semua orang perlu terima pandangan saya. Saya juga perlu belajar dari semasa ke semasa. Namun sebagai ibu, naluri melindungi tetap ada.
“Apabila melibatkan anak, kita pasti menjadi seperti ‘singa betina’ mempertahankan anak. Itu perkara normal bagi seorang ibu,” jelasnya.
Paling penting kata isteri penyanyi Shah Indigo itu, dia tidak pernah menghalang anaknya membuat keputusan sendiri, malah sentiasa memberi kebebasan selagi berada dalam landasan betul.
“Ramai anggap saya terlalu melindungi, tetapi sebenarnya tidak. Saya beri kebebasan kepada Marsya untuk menentukan hala tuju hidupnya.
“Asalkan dia berpegang kepada perancangan dan tahu apa dilakukan, saya akan sentiasa menyokong. Dalam masa sama, saya juga sedang belajar untuk lebih tenang dan melepaskan sedikit demi sedikit,” luahnya.
Terdahulu, kelantangan Liza dalam mempertahankan anaknya mengundang rasa kurang senang segelintir pihak sehingga ada melabel dirinya terlalu melindungi dan keterlaluan.
Malah, ada juga berpendapat penyanyi tersebut perlu lebih bertenang serta memberi ruang sepenuhnya kepada anaknya untuk berdikari tanpa campur tangan berlebihan. – HIBGLAM
