Penyanyi papan atas taruhan konsert Patah Hati 2.0

SAMBUTAN luar biasa terhadap konsert Patah Hati yang berlangsung pada Mac lalu mencetuskan ilham kepada ANS Diversified untuk meneruskan kesinambungan persembahan mega tersebut.

Dinamakan Patah Hati 2.0, kelainan pada kali ini diserlahkan menerusi kepelbagaian genre muzik barisan penyanyi pilihan.

Pengarah projek, Ahmad Faizal Zulkipli berkata, setiap perincian persembahan diperhebat membabitkan enam penyanyi.

“Kami memutuskan untuk merealisasikan sekuel berikutan sambutan peminat, selain ditambah sokongan pihak kementerian berkaitan.

“Malah, kali ini kami ketengahkan tema neon bagi menyuntik kelainan daripada konsert pertama pada Mac lalu.

“Neon juga menggambarkan cahaya indah, kepelbagaian rona serta keunikan genre muzik yang bakal ditonjolkan dalam konsert Patah Hati 2.0,” katanya pada sidang media, baru-baru ini.

Seperti konsert Patah Hati pertama, Naim Daniel dan Aisha Retno dikekalkan dalam sekuel yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 23 November depan.

“Kami sebulat suara mengekalkan Aisha Retno dan Naim Daniel atas penampilan jitu pada penampilan konsert terdahulu yang secara tidak langsung memenuhi kriteria diperlukan.

“Antara elemen lain yang kami lihat adalah kedua-dua mereka sangat ‘gila’ ketika beraksi atas pentas. Terbaik.

“Jenama Patah Hati ini tidak hanya bersandarkan kepada lagu galau, malah dirancakkan aneka dendangan hits daripada penyanyi papan atas,” ujarnya lagi.

Selain Aisha dan Naim, barisan penyanyi lain yang bakal menghangatkan konsert Patah Hati 2.0 ialah Bunkface, Ismail Izzani, Nadeera serta Neeta.

Peminat yang ingin merasai pengalaman menikmati variasi genre muzik dalam konsert Patah Hati 2.0 boleh membuat tempahan tiket di laman sesawang www.ticket2u.com.my.

Harga tiket bermula RM185 (Malam Ini Kita Punya), RM269 (Luar Biasa Sakit), RM299 (Purnama) dan RM5,000 (VIP Box).

Selain itu, pihak ANS Diversified turut menawarkan pembeli terawal pada kadar RM179 untuk ruang berdiri (Malam Ini Kita Punya), RM259 (Luar Biasa Sakit) dan tempat duduk premium (Purnama), RM285. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok