IDENTITI dicuri scammer, penyanyi dan pengarah, Datuk Yusry Abdul Halim mengingatkan orang ramai agar lebih berwaspada dengan kewujudan akaun media sosial palsu yang menyamar sebagai dirinya.
Yusry, 53, mendedahkan pihak tidak bertanggungjawab itu cuba memperdayakan mangsa bagi mengaut keuntungan dengan cara mudah.
“Salam semua. Saya diberitahu ada akaun palsu yang menggunakan nama saya. Hati-hati ya. Mereka ialah scammer (penipu),” tulisnya di platform Threads.
Anggota kumpulan KRU itu, berkata akaun palsu berkenaan kelihatan hampir sama dengan akaun rasminya apabila menggunakan gambar profil serta menyalin kandungan daripada media sosial miliknya.
Sehubungan itu, Yusry mengingatkan orang ramai agar meneliti ejaan nama pada akaun yang ingin diikuti agar tidak terpedaya.
“Gambar profil dan kandungan mereka curi daripada akaun sebenar saya. Sekali imbas memang nampak seperti akaun saya. Perhatikan ejaannya,” ujarnya.
Perkongsian tersebut meraih perhatian ramai yang meluahkan kebimbangan terhadap peningkatan kes penipuan menerusi media sosial, malah ada yang mendakwa pelaku turut meletakkan QR Bank bagi tujuan mendapatkan wang.
‘Ada sekali kod QR! Kena fikir juga. Mustahil Yusry KRU akan kongsi QR untuk minta duit,” tulis netizen. – HIBGLAM
